PENYERANG import berbisa PDRM FC, Bruno Suzuki selamat melayari bahtera perkahwinannya bersama gadis pilihan, Rosita Sulaiman pada 3 Mei 2024.
Pemain kelahiran Jepun ini telah memilih untuk memeluk Islam pada Ogos lalu sejurus menjalinkan pertunangan bersama teman wanitanya. Akhirnya, kedua-dua mempelai ini berjaya disatukan pada tanggal yang istimewa ini.
Skuad Sang Saka Biru turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan tanda teruja atas perkahwinan pasangan sejoli yang lengkap mengenalan busana putih pada majlis yang penuh bermakna itu.
“Tahniah kepada Bruno dan pasangan beliau yang baru sahaja menjejakkan kaki ke dalam babak baru kehidupan mereka! Semoga setiap detik yang dilalui bersama dipenuhi dengan cinta, kebahagiaan, dan petualangan yang tak terlupakan.
“Selamat menjalani perjalanan hidup yang penuh dengan cinta dan kebahagiaan,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram rasmi PDRM FC.
Penyatuan antara dua jiwa ini pastinya telah menarik perhatian penyokong-penyokong PDRM FC mahupun pasukan tempatan lain, tambahan lagi dengan harapan mereka untuk melihat Bruno Suzuki dinaturalisasikan menjadi sebahagian dalam skuad kebangsaan negara.
Terdahulu, Bruno memberitahu FLASH SUKAN bahawa persiapan perkahwinannya sudah hampir selesai dan majlis akad nikah akan dilakukan pada bulan Mei.