PEMAIN sensasi PDRM FC, Bruno Suzuki menyifatkan bahawa dirinya berasa teruja dalam mengharungi bulan Ramadhan yang penuh mulia ini.

Bruno mula memeluk agama Islam pada Ogos tahun lalu, sekali gus merasakan pengalaman berpuasa pada hari pertama dalam bulan Ramadhan sebagai seorang Muslim.

FLASH SUKAN sengaja mengusik dirinya adakah sebelum ini dia pernah cuba untuk berpuasa sebelum menghadapi bulan puasa yang sebenar?

Bruno kekal memberi khidmatnya buat pasukan PDRM FC untuk musim ini.

Pemain kelahiran Jepun itu menjawab, “Ya sebelum ini saya pernah mencuba untuk berpuasa tetapi tidak teruskan sehingga sebulan, hanya beberapa hari sahaja.

“Jadi, serba sedikit saya dapat tahu bagaimana rentak dan rasa berpuasa, tetapi bagaimanapun, ini merupakan Ramadhan yang pertama buat saya sebagai seorang Muslim.

“Sekarang sudah hampir jam 12 tengahari dan saya rasa saya boleh teruskan, tiada masalah,” ujarnya dalam nada gelak ketawa.

Tonggak utama PDRM FC ini cemerlang beraksi bersama pasukannya pada musim lalu.

Sementara itu, Bruno yang melanjutkan kontrak bersama Sang Saka Biru buat musim ini mendedahkan bahawa skuadnya akan memulakan latihan rasmi pada malam esok (Rabu).

Tidak hanya itu, PDRM yang mengumumkan kegunaan Stadium Selayang sebagai ‘rumah baharu’ buat mereka telah membuatkan Bruno berasa tidak sabar untuk memulakan saingan bola sepak musim ini.

“Saya berasa sangat teruja untuk bermain di Stadium Selayang kerana saya tahu itu merupakan stadium yang cukup bagus. Saya pernah bermain di situ sebelum ini,” katanya.