PENJAGA gol PDRM FC, Bryan See Tian Keat menganggap kekalahan di pentas final MFL Challenge Cup itu sebagai satu titik kebangkitan mereka pada perlawanan seterusnya.
Bryan yang berusia 32 tahun terpaksa akur dengan keputusan agregat 7-0, sekali gus berpendapat bahawa Selangor FC layak mendapatkan trofi kemenangan tersebut.
Menurutnya, pemain-pemain Gergasi Merah telah menampilkan aksi kelas tersendirinya dan tiga jaringan pada separuh masa pertama itu sedikit sebanyak telah menjatuhkan motivasi para pemain Sang Saka Biru.
“Perlawanan ini sangat mencabar bagi saya. Agar sukar untuk kita bangkit semula selepas bolos tiga gol pada separuh masa pertama, namun saya percaya semua telah lakukan sehabis baik.
“Selepas ini, kami akan fokus untuk mendapatkan sebanyak mata yang boleh dalam Liga Super demi menaikkan kedudukan kami dalam liga.
“Saya percaya tahun ini, PDRM FC telah berhasil untuk melakukan kejutan dan menjadi kejutan buat pasukan-pasukan bola sepak lain, termasuk skuad yang lebih jaguh dari kami,” ujarnya.
Jelas bahawa Bryan tetap menunjukkan semangat juang dan tekad untuk menebus semula kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan MFL Challenge Cup, pada aksi Liga Super akan datang.
Pentas akhir kedua MFL Challenge Cup pada Sabtu lalu menyaksikan Selangor FC meraih keputusan 4-0 dengan jaringan yang terhasil daripada Ali Olwan, dua gol daripada Yohandry Orozco dan satu oleh Ronnie Fernandez.
PDRM FC yang kini berada di tangga kelapan Liga Super dengan kutipan 21 mata keseluruhan dijadualkan bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC pada 26 Februari depan, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
FOTO : PDRM FC