BS Nutrition, syarikat pengeluar suplemen tambahan protein berjenama Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) sejak dua tahun yang lepas bagi menghasilkan sebuah formula protein terbaru yang bebas bahan terlarang ‐ Perfomax serta selamat digunakan bagi kegunaan penggiat sukan termasuk atlet kebangsaan serta atlet lain di Malaysia.

Perfomax yang akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini adalah hasil kerjasama kepakaran ISN dan BS Nutrition, juga telah digunakan oleh beberapa Majlis Sukan Negeri bagi persediaan atlet-atlet ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke 21 yang bakal berlangsung di Sarawak, September ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BS Nutrition, YM Raja Lokman Bin Raja Ahmad, syarikatnya juga terbuka untuk menjalinkan hubungan kerjasama yang baik dengan Majlis Sukan Negara (MSN), serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui penajaan atlet-atlet kebangsaan yang akan bertanding di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Ogos nanti mahupun temasya-temasya sukan utama yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif BS Nutrition, YM Raja Lokman Bin Raja Ahmad menyantuni pengunjung rumah terbuka 

“Kami sentiasa terbuka untuk mencari peluang bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam meningkatkan kesedaran pentingnya nutrisi yang lengkap untuk tubuh badan terutama di kalangan atlet.

“Melalui produk yang dihasilkan bersama ISN ini, para atlet tidak perlu bimbang akan kandungannya kerana ianya telah menepati keperluan dan formulasi yang ditetapkan oleh ISN”, katanya ketika Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri BS Nutrition di Shah Alam.

Sementara itu, Dr Ahmad Zawawi Bin Zakaria, Pengarah Bahagian Prestasi Sukan, ISN, berkata para penggiat sukan tidak perlu bimbang dengan penggunaan produk Performax kerana ianya telah memenuhi saranan nutrien untuk keperluan tubuh badan yang optimal semasa melakukan aktiviti kecergasan dari pihak kepakaran ISN.

“Umumnya, hasil dari kerjasama bersama pihak industri, kita hendak pastikan produk yang dihasilkan mematuhi seperti apa yang tertera pada label bungkusannya serta mematuhi kualiti yang sepatutnya kerana produk yang dihasilkan ini juga boleh digunakan oleh para atlet selain penggiat sukan.

“Kita juga telah mengesyorkan supaya bahan serta ramuan yang digunakan mempunyai kualiti yang baik serta nutrien yang penting untuk proses pemulihan dan tumbesaran otot selepas melakukan sebarang aktiviti sukan dan kecergasan”, jelasnya.