SKRIP edisi 2007 pasukan Harimau Malaya di pentas Piala Asia bagaikan bakal berulang apabila Malaysia ditunjukkan jalan keluar selepas kecundang dua perlawanan berturut-turut peringkat Kumpulan E di Doha.
Kini, pertembungan menentang Korea Selatan yang pada asalnya menjadi penentu dalam misi ke Pusingan 16 sebelum kejohanan bermula, tinggal sebagai pelengkap jadual.
Namun begitu, pemain pertahanan tengah negara, Junior Eldstal enggan memandang remeh pertemuan terakhir kerana tetap dianggap penting dan sebahagian daripada tugasan yang harus diselesaikan.
“Masih lagi dalam pertandingan dan kami tetap fokus akan pergi ke sana (Stadium Al Janoub).
“Aksi terakhir ini kita akan buat habis-habisan untuk diri sendiri dengan harapan membuatkan Malaysia bangga.
“Kami telah melupakan apa yang berlaku (kekalahan) semasa bertemu Bahrain. Misi kami adalah sekurang-kurangnya dapatkan mata di sini,” kata pemain berdarah kacukan Malaysia-Sweden itu.
Junior yang beraksi dalam kesebelasan utama perlawanan pertama menentang Jordan memberitahu, edisi kali ini adalah peluang terakhir dirinya menyumbang khidmat bersama kem negara atas faktor usia.
“Mungkin ada peluang (dapat mata) walaupun agak tipis dan pentas di Doha adalah peluang terakhir bermain untuk pemain tua di Piala Asia akan datang,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas lanjut ke mana destinasi Eldstal selepas ini, dirinya memberitahu belum tahu lagi sama ada akan kembali ke Liga Malaysia atau sebaliknya.
Eldstal sebelum ini dipinjamkan ke kelab Liga 1 Indonesia, Dewa United daripada Johor Darul Ta’zim sebelum kontraknya dengan juara Liga Super 10 kali itu tamat pada 31 Disember 2023.
Sepanjang menyarung jersi Harimau Malaya, Junior berjaya menjulang trofi Pestabola Merdeka pada tahun 2013 dan bergelar naib juara tahun lepas.