SAINGAN Liga Malaysia 2023 semakin rancak apabila giliran BubblesO2 mengumumkan sebagai rakan penaja baharu Malaysian Football League (MFL)  selepas menandatangani kontrak perjanjian selama setahun pada Khamis.

Air mineral beroksigen semula jadi pertama di Malaysia yang mula diperkenalkan pada 19 April 2019 itu bakal menjadi minuman premium rasmi Liga Malaysia buat kali pertama sekali gus akan membantu proses metabolisma dengan lebih baik buat semua pemain bola sepak profesional selepas ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BubblesO2 Sdn Bhd, Ain Azizah Arifin optimis bahawa BubblesO2 dapat menyumbang sesuatu bagi memberikan sokongan kepada kelab-kelab Liga Malaysia sepertimana yang pernah dilakukan ketika menjadi penaja kepada beberapa sukan lain sebelum ini.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama kami bekerjasama dalam aktiviti sukan di mana BubblesO2 pernah menjadi penaja pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing untuk Kejohanan CubPrix Kebangsaan (2018-2020), Sukan Malaysia (SUKMA 2022) bagi pasukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Pasukan Baseball Kebangsaan (2022) serta Kejohanan Silat Dunia 2022.

“Malah pelawaan dari Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) kepada kami sebagai minuman rasmi bagi sukan permotoran negara bagi musim 2023 adalah bukti jelas penerimaan warga sukan terhadap BubblesO2.

“Walaupun ini kali pertama kami membabitkan diri dalam sukan bola sepak, BubblesO2 positif dengan pengalaman yang ada dapat memberikan kelebihan dan manfaat kepada semua terutamanya kepada barisan pemain Liga Malaysia.

“Ini kerana kita tahu dengan perlawanan yang semakin bertambah musim ini, sudah tentu tahap kecergasan pemain menjadi keutamaan dan kami di BubblesO2 hadir sebagai salah satu fungsi air mineral yang berkualiti untuk membantu mereka sepanjang musim ini,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kehadiran BubblesO2 ke dalam kancah bola sepak tempatan akan dapat membantu pasukan terutamanya pemain yang mementingkan penghidratan sepanjang masa.

“Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah, Rakan Kongsi Liga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada BubblesO2 atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan mereka untuk saingan Liga Malaysia musim ini.

“Sudah tentu, produk BubblesO2 amat bersesuaian dengan sukan bola sepak di mana kelebihan dan khasiat yang ada pada air minuman BubblesO2 bakal membantu aksi pemain di atas padang.

Justeru saya percaya kolaborasi ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak di mana dengan liputan meluas Liga Malaysia di negara ini bakal mengukuhkan lagi jenama BubblesO2,” katanya.