KETUA Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim mahu para pemainnya belajar daripada kekalahan 0-4 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Teong Kim menganggap semua pemainnya masih belum cukup bersedia untuk mengharungi cabaran di Liga Super kerana majoritinya adalah pemain muda dan bermain di liga yang lebih bawah sebelum ini.

Pun begitu, Teong Kim masih memuji sikap dan semangat juang yang ditunjukkan anak-anak buahnya meskipun sudah ketinggalan 0-4 dan dia yakin ini adalah proses yang perlu dilalui para pemain dan berharap mereka cepat menyesuaikan diri dalam situasi sedemikian.

“Kalau sudah kalah sampai 4-0 susah untuk kata kami bermain baik. Sebelum gol pertama kita dapat bersaing dengan Selangor. Mereka bukanlah pasukan yang calang-calang dan mereka berhak menang dengan peluang yang mereka ada. Pemain kami bermain baik cuma ada kesilapan yang dilakukan dihukum lawan seperti Selangor namun kami masih bermain baik.

“Mereka tidak putus asa dan kekal berjuang meskipun selepas ketinggalan 4-0 dan tunjuk usaha untuk menyerang. Mereka tidak ada masalah dengan semangat kerana sentiasa tunjuk semangat yang tinggi kerana setiap perlawanan mereka bermain lebih baik dan lebih yakin untuk bermain dan ini semua adalah proses dan mereka perlukan masa.

“Pemain masih perlu bermain lebih banyak pertandingan kerana ini adalah kali pertama mereka bermain di Liga Super. Di sini tempo berlainan, intensiti berlainan kerana bermain dengan pasukan yang mempunyai pemain import yang berkualiti. Ini semua pelajaran buat kami. Walaupun kalah tetapi kami dapat belajar dari perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bekas pengendali skuad Bawah 16 Tahun kebangsaan itu juga tidak menganggap pemainnya tidak bagus tetapi masih memerlukan masa untuk dibentuk sebagai satu pasukan dan bermain di peringkat yang tinggi.

“Bukan mereka tidak bagus. Mereka perlu masa untuk bermain di peringkat yang tinggi. Mereka baharu dibentuk dalam empat lima bulan. Ramai yang bermain di Liga Premier sebelum ini dan perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan Liga Super dan harap mereka pantas sesuaikan diri dalam situasi begini,” tambahnya.

Teong Kim juga tidak mahu mengulas tentang insiden kekecohan yang belaku antara penyokong kedua-dua pasukan kerana dia hanya mengetahui tentang perkara itu sejurus tamat perlawanan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya baru terdengar ada Kekecohan yang belaku.”