PASUKAN yang dinaikkan ke Liga Super musim ini, Kuching City FC mula mendapat pengajaran berguna selepas mengharungi tiga perlawanan awal dan berharap dapat bangkit segera selepas ini.

Mereka juga sedar kehidupan di Liga Super bukan mudah dan ianya menuntut para pemain untuk melakukan pengorbanan dan berusaha lebih gigih kerana bukan mudah untuk menentang pasukan besar yang lebih berpengalaman.

Perkara ini didedahkan oleh penolong jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin yang merumuskan keadaan kelab ibu negeri Sarawak itu selepas tiga perlawanan dalam Liga Super yang menyaksikan mereka berjaya mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan.

Barisan kejurulatihan Kuching City FC

“Bukan mudah untuk beraksi di Liga Super. Pengalaman ini semua adalah pengajaran berguna bagi mendewasakan pemain-pemain muda pasukan ini. Kehidupan di Liga Super perlukan pengorbanan dan usaha gigih kerana kita menentang pasukan-pasukan besar yang berpengalaman.

“Jika kita leka dan lalai pasti dihukum tetapi ini bukan sesuatu yang patut kita panik tetapi lebih kepada menuntut fokus dan konsentrasi serta komitmen para pemain dan berharap para pemain dapat bangkit segera.

“Pengalaman jelas memisahkan pasukan kami dengan Sabah FC. Kami sudah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan gol tetapi mereka menggunakan pengalaman yang ada untuk menidakkan peluang kami mendapat mata,” katanya kepada FLASH SUKAN.

 

Namun begitu Sulaiman yakin para pemain tahu apa yang mereka perlu lakukan dan barisan kejurulatihan terutama Ketua Jurulatih, Irfan Bakti juga sudah arif dengan situasi yang dihadapi ketika ini.

Kuching City FC berjaya melakar kemenangan dalam debut mereka di Liga Super selepas menewaskan Kelantan 2-1 sebelum diberikan pengajaran oleh Selangor apabila tewas 0-5 dan sekali lagi tewas kepada Sabah dengan keputusan 2-1 dan kini menduduki tangga kelapan dengan tiga mata.