IMPAK besar disandarkan kepada pemain import baharu Selangor FC, Richmond Boakye-Yiadom belum lagi menjadi apabila mereka tewas 0-1 di tangan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, petang Ahad.
Menurut jurulatih Merah Kuning, Tan Cheng Hoe bukan mudah dalam sekelip mata Boakye dapat keserasian dan menyesuaikan cuaca negara ini ditambah dengan perlawanan liga yang agak kompetitif.
“Secara keseluruhannya kita rasa Boakye mampu bagi opsyen terbaik di bahagian serangan.
“Kalau lihat sukar untuk kita terima hakikat kalau ada peluang terbaik apabila di separuh masa pertama gagal memanfaatkan peluang gol.
“Separuh masa kedua, disebabkan kita hilang fokus, kita dibolosi gol terutama bermain menentang Sri Pahang yang pamer semangat juang dan melawan yang cukup kuat. Jadi kita berdepan kegagalan memenangi perlawanan petang ini,” katanya selepas perlawanan.
Boakye-Yiadom yang merupakan bekas pemain Atalanta tampil masuk pada babak kedua dan kelihatan masih lagi mencari rentak bersama gandingan Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal.
Menurut pengendali berusia 55 tahun kelahiran Alor Setar itu lagi, Selangor dilihat mendominasi perlawanan dan mencipta peluang keemasan menghasilkan jaringan.
“Lumrah dalam bola sepak, bermain dengan pasukan yang lebih kurang sama level, kita perlu ambil kesempatan tersebut (kemenangan), kalau tidak memang kita akan dihukum pihak lawan dengan satu kesilapan di bahagian pertahanan.
“Saya yakin kemampuan dalam pasukan dan kita perlu bangkit daripada kekalahan. Kami barisan jurulatih masih lagi yakin kemampuan setiap pemain dalam pasukan. Saya yakin jika kita tingkatkan perlawanan ke perlawanan kita akan menjadi pasukan lebih baik di masa akan datang,” katanya.
Selangor kini mengutip 34 mata dan akan melayani kunjungan Penang FC di halaman sendiri hujung minggu ini.