KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon gembira dengan aksi para pemain yang menunjukkan kesungguhan ketika mengikat Syria 2-2 dalam perlawanan ujian menjelang aksi pembukaan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada Isnin.
Malaysia mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi tetapi Syria membalas dua gol pada babak kedua sebelum Paulo Josue melengkapkan kebangkitan dengan gol kedua ketika permainan berbaki 12 minit.
Menurut Pan-gon, meskipun hampir sebulan tanpa perlawanan kompetitif, pemain menunjukkan persaingan yang mantap sesama mereka sekaligus memungkinkan sesiapa pun untuk membarisi kesebelasan utama ketika menentang Jordan pada 15 Januari.
“Ianya permulaan yang baik dan kita dapat bersaing dengan pasukan ranking ke-91 dunia. Saya gembira dengan persembahan terutamanya pada babak pertama dan hari ini kami berikan setiap pemain minit permainan dan menukar banyak pemain pada babak kedua.
“Bukan mudah pada separuh masa kedua apabila banyak perubahan berlaku dan selepas 65 minit kami tukar semua pemain jadi saya gembira apabila bangkit dari ketinggalan dua gol dan berjaya jaringkan gol untuk ikat kedudukan 2-2 serta kami mendominasi pada akhir permainan.
“Pemain seharusnya akan lebih yakin selepas perlawanan ini sebelum bertemu Jordan dan saya rasa kami mampu beri saingan dari perlawanan pertama,” katanya selepas perlawanan.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Persahabatan (Tertutup) | Isnin, 8 Januari 2024
SYRIA 🇸🇾 2-2 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Pablo Sabbag 70' Ibrahim Hesar 74'
⚽️ Arif Aiman Hanapi 39' Paulo Josue 78' #FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/3jljKwqW8c— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) January 8, 2024
Skuad Harimau Malaya hanya mempunyai satu perlawanan kompetitif sebelum aksi sebenar namun Pan-gon positif program latihan yang diterapkan barisan kejurulatihan ini adalah tepat sebagai persiapan menjelang perlawanan pertama.
“Sejak mula berlatih pada akhir Disember, kami tidak mempunyai perlawanan rasmi tetapi perlawanan pertama ini sangat bagus selepas sebulan tanpa perlawanan dan hanya latihan. Dari perlawanan ini, kami yakinkan diri kami sendiri barisan kejurulatihan bahawa program kami tepat untuk persiapan sebelum perlawanan pertama.
“Kami dapat banyak perkara baik terutama keyakinan dan ‘match fitness’ dan ini adalah persiapan yang baik menjelang perlawanan pertama kerana ini adalah pelan utama kami untuk mengadakan perlawanan ujian seminggu sebelum perlawanan pertama dan mempunyai masa ‘recovery’ yang cukup serta persiapan taktikal.
“Hari ini tidak ada kecederaan dan semua pemain bersaing dengan baik dan ini menggembirakan saya jadi sesiapa pun boleh jadi kesebelasan utama dan ini adalah kelebihan buat pasukan.
“Kami barisan kejurulatihan akan mengkaji perlawanan ini untuk menentukan siapa bakal bermain sebagai kesebelasan utama untuk perlawanan pertama nanti,” jelasnya.
Malaysia akan bertemu Jordan pada aksi pertama dengan misi mengutip tiga mata penuh bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya sebelum bertemu Bahrain dan Korea Selatan untuk melengkapkan aksi peringkat kumpulan.