GEMENTAR namun S Sivasangari berjaya menyembunyikannya daripada dihidu lawan, sehingga berjaya menyamakan kedudukan ketika pasukan skuasy wanita negara ketinggalan 0-1 kepada Hong Kong, pada final yang menyaksikan pingat emas ketiga dituai di Pusat Olimpik Hangzhou.
Melihatkan aksi sengit ditonjol Rachel Arnold yang turun selaku pemain pertama sebelum tewas kepada Tong Tsz Wing 11-7, 7-11, 11-8, 8-11, 6-11, Sivasangari tahu, dia perlu kekal tenang.
“Saya tahu sebaik masuk gelanggang, perlu tunjukkan bahasa badan yang kita yakin, perkara sama saya beritahu kepada Aifa dan Rachel kerana pasukan lawan akan melihat bahasa badan kita.
“Bukan saya tak gementar tapi saya tak mahu lawan tahu,” kata Sivasangari yang menyamakan kedudukan buat pasukan negara, dengan menewaskan Ho Tze Lok 11-5, 11-8, 11-6.
Sementara itu, Aifa mengakui dia kali pertama beraksi sebagai pemain ketiga (perlawanan penentu) agak gementar, namun yakin kerana belum pernah tewas kepada Chan Sin Yuk.
“Dalam pemikiran saya sudah merancang permainan macam mana untuk menentang Sin Yuk, jadi ada keyakinan itu. Cuma pada set keempat, apabila dia cuba mengejar, saya terpaksa menenangkan diri.
“Pada perlawanan terakhir kumpulan, saya sudah rasa tekanannya dan di final ini, saya berjaya mengekang tekanan itu,” kata Aifa yang menewaskan Sin Yuk 11-5, 11-8, 11-13, 11-8.
Selepas ini, semua pemain negara akan memberi tumpuan kepada acara individu, perseorangan wanita, perseorangan lelaki dan beregu campuran.
ARTIKEL BERKAITAN : Skuasy berpasukan wanita kilas emas ketiga kontinjen negara, Hannah Yeoh ucap tahniah