PENAMPILAN pertama skuad Jujitsu ke temasya Sukan Asia bukan sekadar mengambil bahagian, malah pingat emas menjadi sasaran meskipun sedar tugas amat berat menanti.
Jurulatih Jiujitsu kebangsaan, Bruno Barbosa mahu atlet jiujitsu negara meletak sasaran tinggi, membawa pulang pingat emas kerana yakin dalam sukan itu, kejutan boleh dilakukan mana-mana atlet meskipun mempunyai tahap tali pinggang yang rendah.
“Peluang itu sentiasa ada, sama seperti sukan-sukan yang lain. Saya percaya tiada mana-mana atlet yang sudah berusaha dengan keras tidak mahu membawa pulang pingat emas.
“Ini yang kita sasarkan dan kami sedang berusaha dan berlatih dengan lebih gigih ke arah itu. Kami tidak sasar warna lain selain emas.
“Malah dalam sukan jiujitsu ini sendiri penuh dengan kejutan. Sesiapa sahaja yang bertanding mampu untuk menang tidak kira individu mempunyai tali pinggang hitam (tahap tertinggi), dia mungkin akan kalah kepada tali pinggang coklat,” katanya.
Dalam pada itu ketika Bruno ketika ditanya berkenaan atlet yang disandarkan untuk membawa pulang pingat emas, dia percaya ia mungkin akan hadir menerusi Cassandra J Poyong.
Dalam masa yang sama dia juga tidak menolak kemungkinan beberapa atlet yang lain juga mungkin akan turut mencipta kejutan di temasya itu.
“Tiada siapa tahu Malaysia ada sukan jujitsu di Sukan Sea pada masa itu (2019) apabila dia (Cassandra) mendapat tempat kedua.. dan Cassandra terus cemerlang dalam setiap kejohanan yang disertainya.
“Dia sering membawa pulang pingat, jadi kami pastinya bersiap-sedia sebaik mungkin untuk membawa kejutan buat Malaysia kali ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, pada dua temasya Sukan Sea terakhir, Vietnam dan Kemboja, kategori disertai Cassandra iaitu bawah 55 kilogram (kg) wanita, tidak dipertandingkan.