INSIDEN pergaduhan tercetus antara sekelompok penyokong casual BG Pathum United dan Johor Darul Ta’zim berlaku selepas perlawanan di Stadium Pathum Thani, pada Selasa malam.

Tular satu rakaman video itu di kedua-dua negara yang dirakam peminat yang hadir ke stadium bagi menyaksikan aksi kedua Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia dalam perlawanan yang dimenangi oleh Harimau Selatan dengan keputusan 4-2.

FLASH SUKAN ketika berada di luar stadium sempat menyaksikan beberapa provokasi dicetuskan casual BG Pathum sebelum permainan bermula jam 8 malam.

Bunga-bunga pergaduhan bermula apabila selompok casual tempatan melakukan kata-kata provokasi seperti ‘go back, go back’ tetapi langsung tidak dihiraukan Boys Of Straits (BOS) yang kekal tenang dan memasuki perkarangan stadium yang dikhaskan kepada pasukan pelawat.

Pelbagai reaksi ditimbulkan bagi mencari kesalahan masing-masing. Namun, Sorawit, seorang wartawan lokal Thailand yang kerap mengikuti perkembangan perjalanan Liga Malaysia, menjelaskan kekecohan dicetuskan di kawasan Zon N berpunca daripada penyokong casual yang membuat gangguan.

“Anda jangan silap membuat andaian mengatakan mereka adalah penyokong Ultras, sebalik casual. Gaya pemakaian, dan identiti casual amat berlainan dengan penyokong lain

“Ultras yang berjiwa nurani tidak akan sesekali membuat onar di hadapan penyokong sendiri dan pelawat bagi menjaga nama baik kelab,” katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan.

Mujur campur tangan pihak berkuasa Thailand dan penyokong neutral segera meleraikan pergaduhan bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini didengar.