DATUK Seri Bung Moktar Radin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuatkuasa serta-merta hari ini.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan secara rasmi akan di hantar kepada Setiausaha Agung SAFA dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan.
“Peletakan jawatan ini dibuat atas kerelaan diri saya sendiri selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang politik.
“Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA sekali gus pencapaian kejayaan kepada Sabah FC walaupun ia masih pada tahap yang masih belum memuaskan.
“Mengurus SAFA khususnya pasukan Sabah FC memerlukan sokongan serta dokongan dari semua peneraju utama kepimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu pasukan melangkah lebih jauh ke hadapan,” katanya dalam satu laporan media pada Ahad.
Bung Moktar berkata, meskipun mengakui sedikit rasa kecewa terhadap pencapaian turun naik pasukan Sabah FC pada musim lalu.
“Kita akui berjaya membentuk Sabah FC telah berupaya melakukan perubahan dalam pencapaian selain memastikan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan.
“Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran ini tiada sebarang agenda peribadi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi kekangan waktu serta sumber kewangan untuk memajukan prestasi sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.
Bung Moktar berharap agar semua peminat bola sepak selama ini menyanjung tinggi pasukan Sabah FC agar terus memberikan sokongan kepada penggantinya nanti.