PASUKAN Bunga Raya 15s di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar, telah mula memulakan kem latihan pusat fasa 1 bagi persediaan menghadapi Kejohanan Ragbi Asia 2024 (Asia Rugby Men’s Championship) yang akan berlangsung pada bulan Jun tahun ini.

Seramai 35 pemain telah dipanggil dan latihan ini bertujuan untuk menyusun strategi dan memperkuatkan prestasi pasukan dalam pertandingan-pertandingan penting yang menanti.

Mohamad Nazeer Mohamed Nesharah, yang juga merupakan penolong jurulatih pasukan tahun sebelumnya, telah dikekalkan dalam pasukan kejurulatihan.

Selain itu, Yusli Ramli turut dilantik sebagai penolong jurulatih baharu untuk memberikan sokongan dan bimbingan kepada pasukan.

Kejohanan Ragbi Asia 2024 akan menjadi ujian penting bagi pasukan Bunga Raya 15s. Mereka akan berhadapan dengan Korea pada 2 Jun, diikuti bertemu Hong Kong (8 Jun) sebelum melengkapkan saingan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 21 Jun.

Pasukan ini akan berusaha untuk memberikan persembahan terbaik mereka dalam kejohanan ini dan berharap untuk mencatatkan kejayaan demi negara.

Diharapkan dengan persediaan yang baik, pasukan Bunga Raya 15s akan dapat bersaing dengan baik dan memberikan saingan yang sengit kepada pasukan lawan.

ARTIKEL BERKAITAN : Farid galas tanggungjawab Ketua Jurulatih Bunga Raya 15s