SKUAD ragbi negara menempah pertemuan dengan Korea Selatan di peringkat suku akhir Sukan Asia Hangzhou esok (Isnin), selepas muncul naib juara kumpulan A.
Kejayaan menewaskan Filipina 24-7 sudah cukup untuk membawa Bunga Raya 7s ke pusingan kalah mati, biarpun tewas pada perlawanan kedua kepada Hong Kong 7-40.
Pada perlawanan sebelah pagi, Filipina mendahului 7-0 menerusi try Nicholas Robertson dan conversion Luc Smith, sebelum skuad negara bangkit mengikat 7-7 menerusi try Mohamad Shah Izwan Nordin dan conversion Muhammad Azwan Zuwairi, di babak pertama.
Di separuh masa kedua, permainan Bunga Raya 7s berbeza dan lebih bertenaga, sehingga berjaya memenangi perlawanan 24-7.
Pada pertemuan menentang Hong Kong pula, skuad negara gagal mendapatkan sebarang mata di babak pertama dan ketinggalan 0-21.
Aksi di babak kedua juga tidak banyak berbeza apabila Bunga Raya 7s hanya berjaya mendapat satu try dan satu conversion menerusi Muhammad Azwan, sekali gus menyaksikan mereka tewas 7-40 kepada pihak lawan.