BEREGU sensasi negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Tokyo, Jepun.

Aksi yang berlangsung rancak di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu nyata dihujani dengan smash kencang oleh beregu utama negara yang dilihat bermula baik dengan menang 21-18 pada set pertama.

Di set kedua, mereka enggan mempedulikan laungan semangat yang diberikan penonton kepada pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae apabila menang mudah 21-16.

Kemenangan itu menyaksikan pasangan negara akan bertemu pemenang antara gandingan India, Shetty Chirag- Satwiksairaj Rankireddy dalam aksi separuh akhir.

Kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedikit sebanyak berjaya mengubati episod duka yang menimpa kem badminton semalam selepas tumbangnya perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan kepada lawan masing-masing di peringkat suku akhir.

Dua lagi pertarungan membabitkan pasukan kebangsaan melibatkan wakil dari kategori beregu campuran akan dilangsungkan pada sebelah petang.