PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) digesa menilai semula model penganjuran acara badminton antarabangsa, selepas semakin kurang negara mahu menjadi tuan rumah terutamanya bagi menganjurkan saingan Piala Thomas dan Uber.
Manakan tidak, badan induk badminton dunia itu terpaksa menunda tarikh akhir permohonan, bagi negara-negara yang mahu membida menjadi tuan rumah kepada saingan Piala Thomas dan Uber 2026 kepada tarikh baharu, 1 Februari 2024.
Menerusi laman korporat badan induk badminton dunia itu, BWF membuat pengumuman mengenai tarikh akhir bidaan kejohanan merebut dua trofi acara berpasukan lelaki dan wanita dunia itu, dilanjut ke Februari tahun hadapan.
Difahamkan, belum ada satu negara yang membuat permohonan membida hak penganjuran, sehingga BWF terpaksa menunda tarikh akhirnya.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika ditanya mengenai kemungkinan Kuala Lumpur menghantar bidaan untuk menjadi tuan rumah, seumpama tidak menunjukkan minat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Kenny Goh berkata, mereka akan melihat dahulu perkembangan yang akan berlaku berkenaan bidaan tuan rumah acara berpasukan lelaki dan wanita itu.
“Buat masa ini, tiada kecenderungan untuk BAM membuat sebarang bidaan, namun kita tunggu dan lihat nanti.
“Bagaimanapun, sebelum mengeluarkan komen sama ada Malaysia sudi atau tidak membida, saya mewakili BAM berasakan, BWF perlu menyemak semula atau membuat penilaian terhadap model penganjuran.
“Apa yang saya lihat, agak mengecewakan apabila sehingga sekarang tiada pihak yang membuat bidaan sehingga BWF terpaksa melanjutkan tarikh akhir permohonan bidaan,” kata Kenny, ketika ditemui di perkarangan Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Begitupun, Kenny yang juga ahli Majlis BWF, enggan berkongsi aspek apakah yang perlu badan induk badminton dunia itu melakukan penilaian semula bagi menggalakkan negara anggota untuk membuat bidaan.
“Saya berpendapat, BWF perlu melakukan perbincangan dalaman antara ahli Majlis mereka.”
Sebelum ini, BWF menerusi laman sesawang korporatnya bertarikh 27 September, mengumumkan BWF membukan permohonan bidaan menjadi tuan rumah bagi acara besar sepanjang 2025 hingga 2026, termasuk Piala Thomas dan Uber 2026.
Tarikh akhir permohonan ditetapkan pada 1 Disember 2023, namun menerusi pengumuman terbaharu pada 12 Disember lalu, badan induk badminton dunia itu mengumumkan tarikh akhir menghantar permohonan bidaan bagi Piala Thomas dan Uber 2026 dilanjutkan ke 1 Februari, 2024.
Sejak tahun 1990, hanya sekali negara Eropah menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber iaitu pada 2020 di Aarhus, Denmark, dan selebihnya hanya negara Asia menjadi gelanggang kejohanan.
Malah kebelakangan ini, China sering menjadi tuan rumah baik Jelajah Dunia Akhir, termasuk Piala Thomas dan Uber 2024 yang akan berlangsung di Chengdu.
Untuk rekod, pada edisi 2022, India menjulang Piala Thomas, buat kali pertama dalam sejarah manakala Korea Selatan merangkul trofi Piala Uber, untuk kali kedua.