SERAMAI 106 pemain golf muda bakal mengharungi cabaran di Kejohanan Akhir US Kids Golf Malaysia 2024 yang berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club pada 5 hingga 7 Mac depan.
Kejohanan golf yang dianjurkan oleh Sport Excel dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selama tiga hari itu bakal menjadi pentas penentuan untuk anak-anak muda ini merebut tiket ke kejuaraan yang lebih berprestij iaitu Kejohanan Remaja Dunia 2024 di Pinehurst, Amerika Syarikat pada bulan Julai atau Ogos depan.
Menurut Pengarah Eksekutif Sport Excel, Sivanandran Chinnadurai menjelaskan bahawa pentingnya Kejohanan Dunia ini adalah sebagai platform buat peserta yang lebih-lebih lagi ingin mendapatkan biasiswa sukan dan akademik, jika prestasi semasa di Kejohanan Dunia memikat hati para peninjau semasa perlawanan.
“Program ini khususnya kepada pembangunan akar umbi. Terdapat cara untuk mereka layakkan diri ke pentas final kejohanan kerana ini merupakan peluang kedua untuk mereka tunjukkan kehandalan dan kehebatan mereka.
“Sekiranya pemain dapat mata-mata tertentu, mereka berpeluang untuk layak ke Kejohanan Remaja Dunia yang dianjurkan di Pinehurst, North Carolina, Amerika Syarikat pada Julai.
“Langkah ini juga bagus untuk menggalakkan pemain muda negara berkelana ke luar negara, bertanding di luar negara dan pamer kebolehan, sejurus mendapatkan biasiswa sukan daripada Amerika Syarikat,” kata beliau.
Untuk rekod, seramai 106 peserta dari lingkungan usia 5 hingga 18 tahun daripada 16 buah negara telah layak ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu, dan 37 daripadanya merupakan pemain Malaysia.