SKUAD berbasikal negara lega apabila berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA Kemboja dalam acara lebuhraya individu lelaki yang berlangsung di Angkor Wat.

Pelumba negara Nur Amirul Fakhruddin Mazuki membuktikan dia bukanlah ‘budak mentah’ apabila emas dimenanginya itu menambah koleksi peribadi selepas menang perak dalam acara kriterium lelaki pada Khamis.

Kayuhan bertenaga sejauh 150.6 kilometer (km) yang dipamerkan Nur Amirul sukar digugat peserta lain seterusnya memastikan pingat emas menjadi Milik Malaysia dengan catatan masa 3 jam 22 minit 50 saat.

Pingat perak pula dimenangi pelumba Indonesia, Aiman Cahyadi manakala Filipina, Ronald Oranza membawa pulang gangsa dengan catatan masa sama 3 jam 22 minit 50 saat seperti Nur Amirul namun pemenang ditentukan menerusi ‘photo finish’.

Mengulas mengenai kemenangannya, Nur Amirul menyifatkan pengorbanan meninggalkan isteri dan dua anak berusia satu dan lima tahun untuk menyertai kem latihan, kini terbukti berbaloi apabila berjaya merangkul dua pingat untuk negara.

Strategi pasukan lebuhraya lelaki negara menjadi, berjaya pertahan emas.

“Kejayaan ini adalah kerjasama sepasukan yang sentiasa komited dalam mengekalkan kayuhan hingga ke garisan penamat.

“Saya melakukan persiapan rapi untuk bersaing di Sukan SEA Kemboja termasuklah memastikan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik kerana saingan daripada peserta lain cukup hebat.

“Cabaran utama adalah meninggalkan ahli keluarga terutama anak yang masih kecil demi melakukan persiapan rapi sebelum ke Kemboja” katanya, yang sudah menyertai tiga edisi temasya dwitahunan itu.

Berdasarkan rekod, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff meraih emas acara berbasikal lebuh raya lelaki pada Sukan SEA di Vietnam kali ini dipertahankan Nur Amirul.

Sementara itu,  jurulatih berbasikal negara Mohd Sayuti Mohd Zahit berkata, kerjasama berpasukan menjadi kunci kejayaan kepada pelumba Malaysia meraih emas pada hari ini.

“Mereka berjaya menyerap setiap tekanan dan mengikuti setiap taktikal serta strategi demi memastikan Malaysia sentiasa berada di kelompok hadapan.

“Paling penting, Malaysia dapat mengekalkan pingat emas yang dimenangi tahun lalu sekali gus meniup semangat pelumba lain untuk mencipta keputusan positif,” katanya.