OLEH : MOHD FARIQ
SELEPAS tiga Menteri Belia dan Sukan yang berkhidmat dalam tempoh singkat, penulis mendoakan agar Ahli Parlimen yang dilantik memegang portfolio ini nanti akan bertahan sekurang-kurangnya sepenggal.
Penulis merindui zaman-zaman keluarga sukan negara boleh berpayung di bawah seorang Menteri untuk tempoh lima tahun, yang terakhir Khairy Jamaluddin dari 2013 hingga 2018.
Lima tahun agak singkat kerana ia adalah satu kitaran Olimpik atau Piala Dunia FIFA tetapi ia cukup stabil untuk seorang Menteri melaksanakan perubahan atau meletakkan batu asas idea-idea baharu.
Menteri Belia dan Sukan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 hari ini akan menjadi tokoh ke-21 menjawat kerusi yang diperkenalkan pada 1964 dengan diterajui oleh Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.
Ahli Parlimen yang bakal dilantik mewarisi kerusi daripada tiga pendahulunya yang berdepan cabaran berbeza.
Syed Saddiq Abdul Rahman bertahan 22 bulan diwarnai dengan beberapa kontroversi, termasuk mendedahkan gaji pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) atau NFDP, Lim Teong Kim, yang membebankan kantung Majlis Sukan Negara (MSN), selain kegagalan kontinjen negara menepati sasaran 70 emas apabila mengutip 56 emas dari Sukan SEA di Manila pada 2019.
Bagaimanapun demi berlaku adil, Syed Saddiq tidak dapat melaksanakan sepenuhnya idea beliau dalam membawa perubahan.
Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican mengambil alih di saat negara berdepan penularan pandemik Covid-19 yang banyak membantutkan perancangannya.
Bagaimanapun, Reezal berkesempatan untuk meninjau prestasi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2020 yang ditangguhkan ke 2021 dengan mengikut protokol ketat dikenakan tuan rumah, Tokyo.
Kontinjen negara yang disasarkan memenangi tiga pingat, pulang dengan satu perak daripada Datuk Azizulhasni Awang menerusi acara keirin lumba basikal trek dan satu gangsa menerusi pasangan beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Selama 15 bulan Dato’ Sri Ahmad Faizal Azumu menerajui KBS, beliau berkesempatan untuk melihat dengan dekat prestasi kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham yang pulang dengan tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa.
Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita), berpasukan campuran badminton, dua jaguh angkat berat Mohd Aniq Kasdan (55kg) dan Mohd Aznil Bidin (61kg), dua emas daripada gimnas berirama Ng Joe Ee (bola dan riben) serta Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) memastikan kontinjen negara melepasi sasaran enam emas.
Ahmad Faizal turut memantau prestasi kontinjen ke Sukan SEA Vietnam yang mengumpul 35 emas, 45 perak dan 89 gangsa tetapi menduduki tangga keenam, di bawah Singapura.
Kejayaan Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia dalam Kejohanan Dunia BWF bagi menamatkan penantian selama 45 tahun tercatat di bawah naungan Ahmad Faizal.
Begitu juga dengan kemaraan skuad hoki negara ke Piala Dunia FIH di India awal tahun depan serta skuad bola sepak negara menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC 2023 yang dijadual pada awal 2024 di Qatar.
Yang penting, Ahmad Faizal meneruskan Visi Sukan Negara (VSN) 2030 yang dicetus oleh Reezal Merican dan dilancarkan sempena Hari Sukan Negara Oktober lalu, yang menggariskan hala tuju pembangunan sukan negara berserta kekangan dan cabarannya.
Bagi seorang Menteri Belia dan Sukan, beliau perlu mengambil masa memahami agensi utama seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara selain pemegang taruh besar seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan kebangsaan (PSK), selain peranan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
Dua agensi penting di bawah KBS ialah MSN yang mengurus sukan prestasi tinggi manakala ISN sebagai agensi sistem sokongan tetapi mengendalikan program Podium yang menguruskan atlet paling elit negara.
Menteri Belia dan Sukan ke-21, andai ikhlas dan bijaksana, harus melihat semula struktur dalaman MSN dan ISN bagi memastikan kedua-dua agensi ini mencapai tahap optimum terhadap peranan masing-masing serta mengkaji apakah program Podium wajar diserahkan semula kepada MSN.
Jangan lupa, pembangunan belia juga berkait dengan sukan dan riadah serta sukan untuk massa.
Dengan keadaan dunia yang dikuasai generasi Tik Tok yang menuntut ketelusan, portfolio KBS harus diterajui orang muda tetapi bijaksana. Apakah calon ini wujud?