PENGURUS Kelab Manchester City Pep Guardiola, secara terbuka mengakui pasukannya sedang menghadapi krisis besar selepas mengalami kekalahan kelima berturut-turut dalam semua kejohanan musim ini.
Kekalahan 4-1 kepada Tottenham Hotspur di Etihad bukan sahaja menjadi kekalahan terbesar Guardiola di laman sendiri sepanjang kariernya bersama City tetapi turut menamatkan rekod 35 perlawanan tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri dalam Liga Perdana Inggeris.
Guardiola mengakui pasukannya kini berada dalam keadaan ‘rapuh’ dan menggesa anak buahnya untuk terus bersatu menghadapi cabaran getir ini.
“Dalam lapan tahun saya di sini, kami tidak pernah berada dalam situasi seperti ini. Kadang-kadang, sukan mengajar kita untuk menerima kenyataan pahit.
“Tidak ada kisah dongeng dalam hidup. Kita tidak boleh saling menyalahkan, sebaliknya harus bangkit dan berdepan dengan situasi ini,” ujarnya.
Kekalahan itu, yang menyaksikan James Maddison menjadi bintang utama dengan dua gol untuk Tottenham, meninggalkan City lima mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.
Jika City tewas dalam pertemuan dengan Liverpool minggu hadapan di Anfield, jurang itu berpotensi melebar kepada 11 mata, sesuatu yang diakui Guardiola sukar untuk dikejar.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku musim ini, tetapi saya tetap percaya kepada pemain-pemain saya. Tiada pasukan di dunia ini yang mampu mengekalkan kejayaan selama lapan hingga sepuluh tahun berturut-turut tanpa sebarang cabaran,” tambah Guardiola.
Tottenham, di bawah bimbingan Ange Postecoglou, tampil cemerlang di Etihad dengan gaya permainan disiplin dan efektif.
“Saya sangat bangga dengan pemain-pemain saya. Datang ke sini untuk menentang juara adalah tugas yang mencabar, tetapi kami menunjukkan keberanian dan kualiti,” kata Postecoglou selepas perlawanan.
Maddison, yang menyambut ulang tahun ke-28, turut meluahkan kegembiraannya atas persembahan memukau yang membantu pasukannya mencatat kemenangan bersejarah.
“Ini adalah hari lahir yang akan saya kenang sampai bila-bila. Untuk datang ke tempat juara, bermain dengan baik, dan membawa pulang kemenangan adalah sesuatu yang istimewa,” katanya.
Dengan Liverpool terus konsisten di puncak liga, City kini perlu mencari formula terbaik untuk kembali ke landasan kemenangan dan menghidupkan kembali peluang mempertahankan kejuaraan mereka.
Anfield bakal menjadi ujian terbesar untuk Guardiola dan anak buahnya dalam usaha membuktikan mereka masih mampu bersaing di peringkat tertinggi.