PIALA Futsal Malaysia 2022 membuka tirai hari ini dengan empat perlawanan suku akhir pertama berlangsung bagi menentukan siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara.
Tiga perlawanan akan dijalankan di Stadium Panasonic Shah Alam manakala satu perlawanan di Stadium Sukpa, Kuantan.
Selangor Mac, Shah Alam City, Negeri Sembilan, Selangor Tot United, Pulau Pinang, PDRM, Pahang Rangers dan Terengganu masing-masing akan berentap untuk menempah tiket ke final pada 23 Julai nanti.
Perlawanan pertama akan menemukan juara Liga Premier Futsal Kebangsaan, Selangor Mac dan pasukan tempat kelapan liga, Shah Alam City dengan pasukan juara liga dilihat tidak mempunyai masalah untuk layak ke separuh akhir.
Ia akan diikuti dengan perlawanan diantara Negeri Sembilan dan Selangor Tot United dengan kedua-dua pasukan dilihat bakal bersaing hebat untuk memiliki kelebihan awal sebelum suku akhir kedua minggu hadapan.
Wakil utara, Pulau Pinang bersedia menghadapi cabaran PDRM dan dilihat Pulau Pinang memiliki sedikit kelebihan jika disandarkan pada aksi liga sebelum ini namun PDRM juga mampu melakukan kejutan jika tidak diberi perhatian.
Satu lagi perlawanan tumpuan bakal berlangsung di Kuantan apabila Pahang Rangers bertemu Terengganu dengan jangkaan Rangers tidak akan menghadapi masalah untuk melepasi halangan ini di hadapan ribuan penyokong di Stadium Sukpa, Kuantan.
Perlawanan suku akhir pertama ini penting untuk mencari momentum selepas berehat panjang kerana memberi laluan kepada temasya Sukan SEA di Vietnam dengan kesemua pasukan pastinya ingin mendapatkan kelebihan gol yang selesa sebelum suku akhir kedua minggu hadapan.
Suku akhir kedua akan berlangsung pada 25 Jun sebelum peringkat separuh akhir akan diadakan pada 2 dan 16 Julai dengan final dijadualkan pada 23 Julai akan datang.