NASIB dua bekas juara dan pasukan lain yang mengejar kejuaraan pertama di Asia akan ditentukan apabila Pusingan 16 Terbaik Liga Juara-Juara AFC Zon Timur yang dinanti-nantikan bakal memulakan saingan pada Khamis dan Jumaat di venue berpusat di Saitama, Jepun.

Dua perlawanan akan berlangsung pada Khamis dengan pertemuan dua kelab dari Republik Korea, pemenang Kumpulan F, Daegu FC akan menentang juara dua kali, Jeonbuk Hyundai Motors FC yang layak sebagai salah satu pasukan tempat kedua terbaik di Stadium Urawa Komaba jam 5 petang waktu tempatan.

Dengan tiket ke pusingan suku akhir menjadi taruhan, dua wakil Jepun, finalis musim 2020, Vissel Kobe pula akan turun menentang kelab senegara, Yokohama F. Marinos tiga jam kemudiannya di Stadium Saitama 2002

 

Pada Jumaat pula, dua kelab dari Asia Tenggara dan dua dari Asia Timur akan berentap untuk merebut dua lagi tiket ke peringkat suku akhir yang dijadualkan pada 22 Ogos nanti.

Selepas berjaya layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama, Kitchee SC dari Hong Kong akan cuba untuk mengekalkan momentum dari peringkat kumpulan apabila berhadapan juara Thailand, BG Pathum United di Stadium Urawa Komaba pada jam 5 petang.

Satu lagi pasukan yang melakukan debut di peringkat kalah mati ini, Johor Darul Ta’zim dari Malaysia yang mempamerkan aksi cukup baik di peringkat kumpulan akan berhadapan saingan juara dua kali ACL, Urawa Red Diamonds dalam satu perlawanan yang dijangka sengit di Stadium Saitama 2002 pada jam 8 malam.

Stadium Saitama 2002

Selepas berakhirnya kempen Pusingan 16 Terbaik, undian peringkat suku akhir dan separuh akhir Zon Timur akan diadakan pada 20 Ogos jam 11 pagi.

Empat pemenang dari Pusingan 16 Terbaik ini akan mempunyai nama di dalam satu balang dengan bola pertama dan kedua yang diundi akan diletakkan sebagai Pasukan A manakala bola yang selebihnya akan diletakkan sebagai Pasukan B dalam Suku Akhir Pertama dan Kedua.

Peringkat Suku Akhir Liga Juara-Juara AFC Zon Timur akan berlangsung pada 22 Ogos diikuti dengan peringkat separuh akhir tiga hari kemudiannya di Jepun dengan pemenang akan layak ke final dua pusingan menentang lawan dari Zon Barat pada 19 dan 26 Februari 2023.