KETUA jurulatih Bangladesh, Javier Fernandez Cabrera berkata perlawanan bertemu pasukan Malaysia pada Selasa malam adalah motivasi tambahan bagi pemain terus memberikan aksi positif kerana dapat beraksi di hadapan ribuan penyokong lawan.

Baginya, ia merupakan saat terbaik membuktikan kemampuan pasukan kendaliannya untuk bersaing dengan mana-mana pasukan.

“Bagi kami bermain di hadapan 70 atau 80 ribu penyokong adalah motivasi tambahan kepada pemain kami. Ia adalah momen terbaik untuk menunjukkan kepada semua kita mampu bersaing dengan mana-mana pasukan.

“Ia masa untuk kami konsisten dalam perlawanan terakhir, selepas dua perlawanan, masa yang sangat pendek untuk pemulihan pemain kami.

“Kami berkongsi dengan mereka, kami terbuka, mereka sedia untuk bermain dan kami akan turun dengan kondisi terbaik.

 

“Kita mungkin akan ada pertukaran saat akhir pemain kerana jadual perlawanan yang sangat padat,” ujarnya semasa sidang media pra-perlawanan pada Isnin.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Sepanyol itu memberi gambaran Malaysia mempunyai kelebihan apabila bermain di laman sendiri, di hadapan penyokongan kesayangan mereka namun tetap optimis Bangladesh mampu melakukan sesuatu terhadap Harimau Malaya.

Dia turut mengingatkan pemain supaya berhati-hati kerana Malaysia akan cuba membunuh perlawanan dengan jaringan besar seawal yang mungkin bagi memastikan slot ke Piala Asia 2023 digapai skuad kendalian Kim Pan-gon.

“Kelebihan pastinya buat Malaysia, mereka bermain sebagai tuan rumah, ranking yang lebih baik, tapi kita mahukan sesuatu keputusan positif buat peminat rakyat Bangladesh.

“Kami sentiasa sasar untuk menang, tetapi Malaysia akan turun dengan segala-galanya, mereka akan cuba bunuh perlawanan awal untuk mematikan rentak kami.

“Perlawanan terakhir dipengaruhi keadaan padang tetapi saya tahu Malaysia pasukan yang kuat,” tambahnya.

Bangladesh akan turun menentang Harimau Malaya dalam perlawanan terakhir sebagai pelengkap jadual saingan kumpulan E pada 14 Jun meskipun mereka telah tersingkir untuk merebut slot 24 pasukan terbaik ke Piala Asia 2023.