SEPERTI yang kita ketahui, untuk memberi penghormatan kepada pemain bola sepak terbaik di dunia, setiap tahun terdapat anugerah Ballon d’Or atau The Best FIFA.
Tidak terkecuali di peringkat Asia Tenggara, Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) juga pernah menganjurkan anugerah itu, tetapi kini tidak diadakan sejak tiga tahun lalu.
Menurut informasi Asean Football, terdapat sesetengah akhbar atau page peminat juga menganjurkan tinjauan pendapat mereka sendiri dengan keputusan yang berbeza.
“Bagi memberi penghormatan kepada pemain cemerlang bola sepak Asia Tenggara pada tahun ini dengan cara yang paling adil dan tepat, kami berharap dapat mencipta anugerah dengan format yang sama seperti Ballon d’Or atau The Best of FIFA untuk pemain cemerlang rantau Asean,” tulis kenyataan itu.
Katanya, pencalonan dan undian akan dihantar kepada wartawan, pakar bola sepak terkenal, dan page peminat bola sepak serantau yang terkemuka.
“Selepas setiap ahli juri telah memilih lima pemain terbaik mereka untuk anugerah, jumlah mata dikira dan ditambah, dan pemain yang menerima bilangan mata terbanyak akan diberikan penghormatan tertinggi.
“Walaupun ini adalah anugerah tidak rasmi, kami berharap dapat menjadi penilaian dan pengiktirafan terhadap sumbangan pemain terbaik Asean untuk temasya yang indah itu,” ujarnya lagi.
Pihaknya juga berharap untuk menerima komen dan kerjasama daripada wartawan, pakar, jurulatih, pemain dan pentadbir laman peminat berprestij di rantau Asean