“SAYA hanya mahu sertai Terengganu FC (TFC).”

Itu kata pemain sayap, Akhyar Rashid, berkenaan keputusannya untuk mencari minit permainan bagi musim 2024/25.

Menurut Akhyar, dia menyedari perlu berada dalam kesebelasan utama lebih kerap bagi terus berada dalam perancangan lebih besar bersama Harimau Malaya.

Malah beliau mengakui cadangan pengendali negara, Kim Pan-gon turut mendorongnya membuat keputusan untuk menyertai TFC musim ini.

“Sudah tentu saya mahu beraksi lebih kerap lebih-lebih lagi untuk kekal dalam perancangan jurulatih Pan-gon menjelang kelayakan Piala Dunia, bulan depan.

“Beliau (Pan-gon) ada menasihatkan saya agar mencari minit permainan jadi saya membuat keputusan untuk mencari kelab baharu secara pinjaman.

“Saya hanya menghubungi CEO TFC, tiada kelab lain, dan beliau juga menyambut baik hasrat untuk menyarung jersi Sang Penyu,” katanya kepada FLASH SUKAN ketika sesi latihan sulung, petang semalam.

Jelas Akhyar, 25, keputusan meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan mudah apatah lagi kelab gergasi itu serba lengkap namun harus membuat keputusan demi perkembangan kariernya

“Saya juga tahu Safawi (Rasid) akan ke TFC, jadi saya pun berbincang dengan ahli keluarga dan mereka pun bersetuju mengenai perpindahan ini,” katanya.