PENYERANG Kuala Lumpur City FC, Herlison Caion sedar kesukaran yang bakal dihadapi pasukannya apabila bakal berhadapan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Rabu.
Dia juga tidak mahu dibandingkan dengan rakan senegaranya yang juga penjaring terbanyak Liga Malaysia 2022, Bergson Da Silva dan dia mahu membuktikan kemampuan dirinya untuk membantu KL City bersaing musim ini.
Selain itu, bekas penyerang Selangor itu juga yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukannya untuk menyekat kemaraan JDT dan hanya akan mengikut segala arahan yang diberikan oleh jurulatih dalam usaha mencari keputusan yang positif.
“Kami tidak mempunyai tekanan kerana akan bermain di tempat sendiri. Semua tahu JDT mempunyai pemain yang baik tetapi kami juga ada pemain yang baik dan kami yakin untuk perlawanan ini keana jurulatih tahu apa yang perlu dilakukan oleh kami untuk menang.
“Saya akan bermain permainan saya dan jika ada peluang untuk jaringkan gol saya akan lakukannya. Kita tahu Bergson penyerang yang bagus dan mempunyai pemain yang baik dibelakangnya. Begitu juga dengan saya yang mempunyai pemain yang baik di belakang saya seperti Paulo dan Romel. Saya sedar dimana tahap saya dan apa yang saya boleh lakukan.
“KL City mempunyai lebih banyak pemain yang berpengalaman berbanding ketika di Selangor yang banyak pemain menggunakan pemain muda. Kami tahu apa yang perlu dilakukan ketika menentang JDT dan hanya perlu ikut apa yang diarahkan jurulatih untuk mencari kemenangan ke atas JDT,” katanya yang ditemui FLASH SUKAN.
Sementara itu Bergson yang ditanya tentang persiapan menjelang aksi dengan KL City juga yakin Harimau Selatan akan diberikan saingan sengit kerana KL City FC sudah pasti akan beraksi bermati-matian untuk menyekat JDT memperolehi kemenangan kedua.
Oleh itu dia dan rakan sepasukan akan terus berlatih dan akan turun dengan tahap keyakinan yang tinggi bagi meneruskan rentak kemenangan dan momentum yang baik di awal musim meskipun sedar akan kesukaran yang bakal dihadapi.
Caion menyertai Liga Malaysia pada 2021 bersama Selangor berjaya menjaringkan 14 gol dari 20 penampilan dalam Liga Super manakala Bergson menyertai JDT pada 2021 dan membuktikan dirinya sebagai penyerang prolifik dengan 53 jaringan dari 40 penampilan sepanjang dua musim.