PIHAK pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) akan meneliti tindakan lanjut yang akan diambil ke atas Nafuzi Zain kerana didakwa mencalarkan imej kelab ini secara nyata.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, sebagai jurulatih yang telah menabur khidmat bersama pasukan bola sepak di negeri Terengganu sejak tujuh tahun lepas, ianya sesuatu yang amat mendukacitakan.

Jelasnya, TFCSB berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan perkara yang berlegar di setiap ruang media kerana mengutamakan fokus pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

“Ini kerana kita melihatkan motivasi dan reputasi pasukan pada ketika ini berada di tahap terbaik dan ianya perlu diteruskan dan dijaga agar fokus para pemain khususnya tidak terganggu.

“Namun begitu, apa yang telah dilakukan oleh pengendali pasukan ini sendiri amatlah mengejutkan pihak pengurusan apabila secara terang-terangan telah membuat kenyataan media yang membidas pihak pengurusan dan ini sedikit sebanyak telah mencalarkan perhubungan diantara dua pihak.

ARTIKEL BERKAITAN : Nafuzi terus main teka-teki

“Pihak pengurusan pada awalnya bertindak untuk hanya berdiam diri atas dasar tidak ingin fokus pasukan terganggu, namun dilihat perkara ini terus berlarutan apabila pengendali Terengganu FC ini terus menerus membuat kenyataan media yang sekaligus merosakkan imej kelab ini dan ini memaksa pihak TFCSB terpaksa memberi penjelasan berkenaan isu-isu berbangkit demi untuk menjaga maruah kelab dan pengurusan ini,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Ab. Rasid juga mengulas isu lambat menawarkan kontrak profesional kepada ketua jurulatih tersebut.

“Merujuk kepada Perkara 9 : Melanjutkan tempoh kontrak, 9.1 : Kelab hendaklah dalam masa 30 Hari sebelum tamat kontrak ini memberi notis kepada pegawai untuk melanjutkan kontrak.

“Pihak kelab juga mengesahkan telahpun mengutuskan surat tawaran pelanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober 2022 berdasarkan kemampuan kelab yang telah disampaikan melalui Pembantu Operasi Unit Teknikal TFCSB kepada pegawai sebelum tamatnya kontrak pegawai pada 30 November 2022.

“9.3 Pegawai hendaklah menyatakan kepada kelab menerima/menolak atau meletakkan tarikh perundingan terma-terma kontrak dalam masa 14 hari. Pihak majikan telahpun mematuhi terma dalam kontrak ini dengan menawarkan kontrak pada pegawai dalam tempoh yang ditetapkan dalam perkara 9.

“Perkara ini menjawab kepada persoalan menuduh pihak pengurusan melengah-lengahkan penawaran lanjutan kontrak kepada pegawai. Namun demikian, dalam tempoh tersebut pihak pengurusan tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pegawai sehinggalah beliau mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN : “Saya harap penyokong tidak buat spekulasi kemelut libatkan Nafuzi, pengurusan” – CEO Terengganu FC

Namun demikian, katanya pihak pengurusan merasa terkilan apabila dituduh tidak profesional dengan menyatakan bahawa pihak pengurusan lambat menawarkan lanjutan kontrak kepada Nafuzi.

“Sedangkan pihak pengurusan telah mendapati pegawai tersebut telah berunding dan menandatangani perjanjian lebih awal bersama salah sebuah pasukan di Liga Super pada bulan Ogos 2022 lagi, iaitu sebelum kenyataan pertama beliau semasa sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Penang FC berkaitan dengan menyatakan tahun ini kemungkinan besar tahun terakhirnya bersama pasukan ini.

“Keadaan ini telah melanggar terma dan syarat kontrak kelab dimana pegawai tidak boleh menandatangani perjanjian dengan mana-mana pasukan selagi mana beliau masih terikat dengan kontrak kelab.

“Tindakan kurang profesional pegawai dalam menentukan halatuju beliau dan seakan-akan ingin mencalarkan imej pengurusan kelab dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan meletakkan kesalahan kepada pengurusan sebelum beliau meninggalkan kelab ini adalah tidak wajar,” katanya.