KETUA jurulatih Skuad B-19 Wanita Kebangsaan, Cameron Ng tidak mempunyai masalah jika Malaysia membawa masuk pemain warisan untuk menyarung jersi Malaysia sekiranya pemain itu benar-benar berkualiti.

Namun dia berpendapat itu bukan tugasnya sebagai jurulatih sebaliknya menyerahkan perkara ini kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua unit wanita FAM, Soleen Al-Zoubi bagi menentukan perkara itu.

“Saya tak pasti mengenai pemain warisan kerana perkara itu saya serahkan kepada pihak pengurusan dan ketua jurulatih Soleen, namun jika ada pemain warisan yang mahu bermain dan mempunyai kualiti, apa salahnya.

“Bagi saya jika seseorang pemain itu apabila beliau menyarung jersi negara dan beri komitmen 100 peratus serta beri aksi terbaik saya tidak melihat ia akan menjadi masalah,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Palembang.

Dalam perkembangan sama, Cameron turut mengakui terdapat jurang yang cukup ketara di antara skuadnya dan pasukan dari negara Asia Tenggara lain selepas mereka tersingkir awal dari Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023 baru-baru ini namun dia percaya masa depan yang cerah menanti skuad bolas sepak wanita di Malaysia.

“Setiap kejohanan yang kita pergi nampak pemain menjadi semakin matang dari satu perlawanan ke satu perlawanan, tapi kita perlu akui wujud jurang pasukan Malaysia dengan pasukan-pasukan lain.

“Antara faktor yang memainkan peranan besar adalah purata usia pemain kami adalah 17 tahun, tambahan fizikal pemain pasukan lawan juga lebih besar serta lebih pengalaman jadi mereka mempunyai kelebihan,” jelasnya.

Malaysia menamatkan saingan di Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023 dengan satu kemenangan ke atas Singapura sebelum tewas kepada Vietnam dan gagal ke peringkat separuh akhir selepas tidak berjaya menjadi pasukan tempat kedua terbaik.

Selain itu, Cameron juga melihat bola sepak wanita mempunyai masa depan yang cukup cerah di negara ini dengan pengenalan Liga Wanita Nasional (LWN) bermula hujung Julai ini yang bakal melahirkan lebih ramai pemain wanita berkualiti untuk masa hadapan.