JOHOR Darul Ta’zim (JDT) telah melancarkan kit Nike terbaharu untuk musim 2023 dalam satu majlis pelancaran yang turut dimeriahkan dengan kehadiran para penyokong di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Seperti musim-musim sebelum ini, JDT tampil dengan versi berbeza. Bagi musim ini, kit baharu didatangkan dengan dua rekaan, iaitu jersi berwarn merah biru dipakai sebagai ‘Home’, manakala warna putih dipakai untuk bertandang di tempat lawan.

Jersi tuan rumah bagi musim kali ini masih mengekalkan identiti bendera Johor iaitu Merah Biru dengan menggunakan corak ‘camouflage’. Lebih menarik, buat pertama kalinya tampil dengan kolar yang pastinya memberi kelainan buat para pengumpul jersi.

 

Bagi jersi pelawat pula, JDT mengekalkan warna putih sebagai warna utama disamping terdapat adunan kombinasi jalur merah di bahagian lengan, dan biru di bahagian belakang jersi.

“Tahun ini merupakan musim kesembilan JDT bekerjasama dengan Nike yang mana telah meraikan kejayaan tanpa henti tersebut sejak 2014. Jersi-jersi ini adalah sebagai identiti kolektif bagi legasi kelab dan kejayaan di dalam dan di luar padang.”, kata pengeluar utama jenama sukan terkenal dunia, Nike.

Jersi baharu pada musim ini juga masih mengekalkan konsep rekaan berteknologi tinggi iaitu ‘Nike Dri-Fit’.

Jersi Home dan Away JDT 2023

Pengenalan jersi baharu tersebut dilancarkan menerusi sebuah video berdurasi 1 minit 40 saat dengan menyaksikan penampilan beberapa pemain JDT dan juga pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Video itu turut membayangkan bahawa JDT sudah bersedia untuk menakluki musim 2023.

Selaras dengan kerjasama dimeterai antara JDT dan Socios.com pada September tahun lalu, logo platform aplikasi yang menjadi penghubung dan memberi peluang ganjaran kepada penyokong tersebut telah diletakkan pada kedua-dua jersi tersebut.

Penyokong-penyokong boleh mendapatkan jersi tersebut dengan harga bagi kedua-dua jersi RM299 untuk dewasa manakala RM235 untuk jersi bersaiz kanak-kanak.