PERJUANGAN Ultras Malaya (UM07) tidak sia-sia sejak penubuhan penyokong terbesar skuad Harimau Malaya itu menghadapi Piala Asia yang diadakan di Malaysia pada 2007.
Pelbagai suka dan duka ditempuhi UM07 termasuk caci maki oleh segelintir peminat tempatan namun tetap berdiri teguh dan kini boleh berbangga sejurus Malaysia pimpinan Kim Pan-gon mara ke pusingan akhir tahun depan.
Berdasarkan tinjauan di Instagram ketua UM atau dipanggil Capo UM, Lekir Ahmad pada Sabtu, ‘pemain ke-12’ negara itu terharu dan bagaikan kehilangan kata-kata apabila pengorbanan mereka bersama komrad lain demi bola sepak Malaysia terbalas.
“Alhamdulillah. Speechless.
“42 tahun penantian. 15 tahun perjuangan.
“Asia kami datang,” tulis hantaran Lekir.
Dia juga menyeru penyokong kembali ke pasukan kelab masing-masing dan mengekalkan bentuk sokongan serupa seperti diberikan kepada skuad kebangsaan.
“Dah boleh balik ke kelab masing-masing support liga tempatan. Keghairahan di negara, diterus ke negeri/kelab.
“Memartabat maruah bola sepak tanah air,” katanya lagi.
Menerusi perkongsian di IG itu juga, Lekir memuatnaik video menyerahkan baju tertera tulisan ‘Dari Korea Untuk Malaysia’ kepada Pan-gon selepas perlawanan bertemu Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil.