INSIDEN balingan objek seperti botol minuman, pancaran laser dan kelakuan ganas langsung tidak dialu-alukan kumpulan penyokong tegar Ultras Malaya semasa hadir ke Stadium Thammasat, Bangkok untuk aksi timbal balas separuh akhir Piala AFF 2022.

Ketua Ultras Malaya atau dipanggil Capo UM, Lekir Ahmad menggesa peminat tanah air menjaga batas dan tatasusila kerana membawa imej Malaysia di pentas antarabangsa.

“Seperti yang kita tahu antara kita fans Malaysia dan Thailand ataupun sesama Ultras Malaya dan Ultras Thailand kita adalah bersahabat sangat baik. Seperti mana mereka datang ke tempat kita menjaga tatasusila dan kita jaga keselamatan mereka, begitulah kita datang ke sini harus jaga adat dan adab.

“Begitulah adat berjiran dan bersahabat. Saya rasa mereka juga akan bagi kawalan keselamatan yang terbaik untuk kita. Kekal tenang dan kita berseronok untuk menikmati perlawanan tanpa mengira apa sahaja keputusan akhir.

“Layak atau tak layak kita tetap bergembira untuk perlawanan ini. Cuma harapannya Insya-Allah kita menang dan mara ke final,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Bangkok.

Viral di media sosial apabila terdapat segelintir penyokong tempatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas yang melemparkan bekas minuman berisi sos dan makanan ke arah sekelompok penyokong lain.

Kelakuan kurang cerdik individu itu mencetuskan reaksi negatif para netizen dan mengecam penyokong berkenaan supaya mengubah sikap dan tidak mengulangi lagi perbuatan pada masa depan.

 

Sementara itu, tiket perlawanan bagi aksi kedua-dua pasukan di Stadium Thammasat telah habis terjual sejak malam tadi.

Venue pertandingan yang boleh memuatkan 25,000 penonton pasti dijangka meriah dan berlangsung harmoni termasuk nyanyian semangat daripada peminat Thailand dan juga Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN : Capo Lekir ucap Alhamdulillah, ‘speechless’ 15 tahun perjuangan Ultras Malaya