PENGENDALI Pahang Rangers, Gerard Casas tidak pernah merasa lebih bangga dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya sejak menjadi jurulatih kerana mereka mempamerkan aksi yang cukup mantap dan mengikut perancangan yang ditetapkan ketika membenam pasukan Terengganu.

Lebih manis, Casas turut mendedikasikan kemenangan ini kepada penjaga golnya, Zainulzahin Sinuan yang kehilangan abangnya baru-baru ini.

“Sejujurnya, ini adalah salah satu perlawanan yang membanggakan saya sejak menjadi jurulatih Pahang Rangers. Apa yang kita rancang berjaya diterjemahkan seperti apa yang kita mahukan kerana pemain menunjukkan sikap dan komitmen yang menakjubkan untuk pasukan.

Casas gembira dengan kemenangan

“Kami mendedikasikan kemenangan indah ini kepada abang Zainulzahin atau Uteh yang kehilangan abangnya.

“Selain itu, kita akan gunakan rehat bulan Ramadan ini untuk menjadi lebih cergas dan kembali dengan lebih baik selepas ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu Zainulzahin juga menganggap kemenangan dan ‘clean sheet’ ini sangat istimewa didedikasikan kepada arwah abangnya yang sentiasa menjadi penyokong nombor satunya.

Sebagai rekod, ini adalah clean sheet pertama buat Pahang Rangers dalam lima perlawanan manakala ianya adalah penampilan keempat Uteh bersama pasukan musim ini.

Aksi Uteh ketika menentang Terengganu

Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) akan berehat sepanjang bulan Ramadan dan apabila bersambung semula, Pahang Rangers akan bertemu Pulau Pinang untuk aksi keenam dalam Kumpulan A.