PENYERANG import berbisa Penang FC, Soony Saad membuktikan dia wajar berada di posisi tersebut apabila dua jaringannya berjaya membawa pasukannya merangkul gelaran sulung Piala Harapan di Stadium Negeri Batu Kawan pada Sabtu.

Soony meramalkan skuad tersebut mampu bersaing dengan beberapa pasukan gergasi di Liga Malaysia musim ini susulan keputusan cemerlang yang dicatatkan skuad Harimau Kumbang itu apabila menang enam perlawanan berturut-turut.

“Kemenangan malam tadi penting untuk menaikkan keyakinan kami dan hari ini anda dapat melihat bayangan bagaimana pasukan Penang akan bermain pada musim ini iaitu sukar untuk ditewaskan.

“Saya berasa gembira apabila dapat menjaringkan dua gol pada perlawanan ini kerana pada perlawanan terdahulu saya gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai banyak peluang, tapi itulah bola sepak. Ada kalanya hari saya dan ada kalanya bukan hari saya,” jelas Soony.

Dalam pada itu, penyerang kelahiran Lebanon itu enggan meletakkan dirinya sebagai wira sebaliknya menyifatkan kejayaan Sabtu malam adalah kemenangan secara kolektif setiap pemain yang diturunkan dalam pasukan.

Susulan dua gol yang dijaringkannya, pemain kebangsaan Lebanon itu telah dinobat sebagai penjaring terbanyak kejohanan tersebut.

Dengan kemenangan tersebut, Soony berharap agar penyokong akan kembali menjadi tulang belakang kepada mereka menjelang aksi Liga Malaysia setelah Penang FC hilang sorakan peminat ekoran prestasi hambar Harimau Kumbang sebelum ini.