DOMINASI Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super tidak dapat dipersoalkan lagi apabila mereka berjaya meraih sembilan gelaran juara liga berturut-turut sejak 2014 dan kini semakin menghampiri gelaran ke-10 semenjak kelab itu ditubuhkan pada 2013.

Harimau Selatan milik penuh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan sahaja menyapu bersih kesemua trofi domestik yang ditawarkan setiap tahun malah turut muncul pasukan Asia Timur pertama menjuarai Piala AFC pada 2015.

Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan JDT adalah ketajaman barisan serangan dan bantuan dari semua pemain yang memperlihatkan mereka sudah mencipta rekod 900 jaringan sejak 2013.

Menurut hantaran di laman sosial rasmi kelab, gol jaringan Leandro Velasquez ketika menewaskan Kuala Lumpur City FC pada aksi final Piala FA adalah jaringan ke-900 sepanjang masa buat kelab dan kesemua jaringan ini dilakukan kurang dari 10 tahun kewujudan JDT.

Mengimbas kembali pada awal penglibatan JDT dalam Liga Malaysia pada musim 2013, maestro pasukan, Safiq Rahim menjadi penjaring pertama buat Harimau Selatan apabila menyumbang gol pembukaan ketika bertemu Pahang pada 8 Januari 2013 dan sejak dari itu JDT tidak menoleh kebelakang dan terus menghasilkan lebih banyak gol.

Meskipun tidak bergelar juara pada musim itu, namun JDT berjaya menjadi naib juara Piala FA dan menjaringkan 55 gol pada tahun pertama kemunculan dengan Nurshahrul Idlan Talaha muncul penjaring terbanyak dengan 11 gol.

Aksi JDT ketika final Piala FA 2013

JDT menyambut gol ke-100 dalam semua pertandingan pada musim 2014 menerusi pemain kebangsaan, Amirul Hadi Zainal ketika JDT menumpaskan Kelantan 3-0 pada 20 Jun 2014 yang kemudiannya bergelar juara Liga Super buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Bermula 2015, JDT mula bermain di peringkat Asia apabila layak ke Piala AFC selepas muncul juara Liga Super 2014 dan semakin banyak jaringan gol dilakukan terutama menerusi ayam tambatan, Luciano Figueroa yang menjaringkan 18 gol dalam semua pertandingan.

Selepas muncul juara Liga Super selama empat tahun berturut-turut, JDT berjaya mencapai gol ke-500 sepanjang zaman menerusi seorang lagi pemain import dari Brazil, Fernando Marquez yang menjaringkan gol tunggal ketika JDT menewaskan Kelantan 1-0 dalam pertandingan Piala Malaysia pada 25 Ogos 2018.

Fernando Marquez ketika beraksi dengan JDT pada 2018

Musim 2022 adalah tahun gemilang buat JDT apabila muncul juara ‘quadruple’ dengan menyapu bersih kesemua empat trofi yang dipertandingkan dan layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC selepas muncul juara kumpulan.

Shahrul Saad mencetak nama sebagai penjaring ke-800 buat kelab ketika menjaringkan gol pertama pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2022 bertemu PJ City dan gol itu menjadi pembakar semangat buat JDT untuk terus bergelar juara.

Kejayaan menjulang trofi Piala FA 2023 menewaskan Kuala Lumpur City yang juga piala ke-24 secara keseluruhan buat JDT pada 22 Julai lalu turut disambut dengan rekod baharu kelab apabila Leandro Velasquez menjaringkan gol ke-900 buat kelab.

Leandro Velasquez sumbang gol ke-900 buat JDT sejak 2013

Dengan saingan Liga Super yang masih berbaki sembilan perlawanan serta aksi Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC, JDT boleh menjaringkan lebih banyak gol dan mencipta rekod demi rekod baharu untuk menjadi kelab terbaik pernah bersaing dalam Liga Malaysia.