TAKDIR menentukan Datuk Nur Azmi Ahmad dilantik sebagai ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Vietnam 2021.

Jika kita masih ingat, jawatan itu pada asalnya diserahkan kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Namun rentetan peristiwa yang berlaku selepas Mac 2021 tiada siapa yang sangka.

Hamidin diumumkan sebagai chef-de-mission ke Vietnam selepas satu mesyuarat Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Norza Zakaria pada Mac 2021.

Hamidin tidak membuang masa dan mengadakan pertemuan dengan presiden, setiausaha dan jurulatih setiap persatuan yang dijadual mengirim wakil ke Hanoi.

Namun apabila Hamidin dicalonkan sebagai Timbalan Presiden MOM dalam Kongres MOM September 2021, buah catur dalam MOM berubah posisi.

Selaku Timbalan Presiden MOM, Hamidin menarik diri daripada jawatan ketua kontinjen Sukan SEA dan MOM sejurus itu melantik Nur Azmi, bekas pemain hoki Melaka yang juga terpilih selaku Naib Presiden MOM bagi penggal 2021-2025.

Rekod bukan calang-calang

Nur Azmi, 55, tampil dengan rekod yang bukan calang-calang.

Bagi pengikut hoki, Nur Azmi dikenang sebagai Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) ketika itu diterajui oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah.

Aktif juga dalam tinju di Melaka, Nur Azmi dipilih sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Karate-do Malaysia (Makaf) pada 2018.

Dengan latar belakang yang dilihat rapat dengan Yang di-Pertuan Agong serta Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Rustam, Nur Azmi menawarkan modal berbeza.

Sama ada selaku pemimpin MHC mahupun Makaf, Nur Azmi lantang bersuara dan tidak takut diulit kontroversi.

Nur Azmi Ahad. Foto. Bernama

Beliau tidak gentar meluahkan pendapat dan mengkritik pemegang taruh lain, termasuk Majlis Sukan Negara (MSN).

Sebagai ahli majlis Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) yang kemudiannya digabungkan sebagai MHC di bawah Sultan Nazrin Shah seawal 2004, Nur Azmi adalah wakil Melaka pertama terpilih memegang jawatan dalam badan induk.

Seterusnya orang kanan kepada Al-Sultan Abdullah, Nur Azmi lazimnya menjadi pemimpin barisan hadapan dan wajah umum MHC sama ada ketika badan induk itu membuat pelantikan Paul Revington, Arul Selvaraj serta Dhaarma Raj Abdullah mahupun mengumumkan sasaran pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa.

Selepas tewas di tangan George Koshy untuk kerusi timbalan presiden MHC pada 2015, Nur Azmi beralih sukan. Sebagai orang kanan Tun Mohd Ali, Nur Azmi dipilih sebagai setiausaha agung Makaf pada 2018 dengan kelebihan tujuh undi.

Beliau tidak takut untuk melawan arus dan menyingkir lima ahli gabungan yang dianggap melanggar perlembagaan Makaf.

Apabila terpilih selaku Naib Presiden MOM pada pemilihan September 2021, Vietnam 2021 dijadikan medan mengukur kemampuan Nur Azmi untuk memimpin.

Misi berjaya

Sasaran 36 pingat emas di Hanoi tercapai menerusi kejayaan skuad kumite lelaki negara menewaskan Indonesia 3-0, sekali gus menamatkan penantian emas selama 29 tahun.

Kali terakhir Malaysia mengutip emas dalam acara ini ialah pada Sukan SEA Singapura apabila skuad diterajui P. Arivalagan menewaskan Singapura 4-1 pada final di Bedok pada 17 Jun, 1993.

Bijak bermain dengan kata-kata, Nur Azmi jelas mencatat A dalam penampilan pertama selaku ketua kontinjen.