JIKA Jawatankuasa Road to Gold (RTG) belum bergerak, Ketua kontinjen (CDM) negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin akan terus memainkan peranannya untuk memenuhi permintaan atlet bagi memastikan perburuan pingat emas pertama berada di landasannya.

Hamidin memberi jaminan akan mempercepat usaha memenuhi permintaan yang dikemukakan atlet di bawah program RTG namun tidak membelakangkan jawatankuasa itu.

CDM Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, ketika melawat latihan skuad berbasikal trek negara di Veledrom Nasional, Nilai.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, sekiranya perlu beliau sendiri akan terus membawa perkara berkenaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tanpa menunggu mesyuarat Jawatankuasa RTG.

“Kalau jawatankuasa RTG lambat nak mesyuarat, kita akan terus adakan pertemuan dengan menteri secepat mungkin.

“Apa yang paling penting, kita mahu atlet kita sentiasa berada pada tahap tertinggi dan keperluan yang kita fikirkan patut diberi, kita akan berikan,” katanya, selepas meninjau sesi latihan skuad berbasikal trek negara di Velodrom Nasional Nilai, di sini.

Hamidin mendapatkan input daripada atlet berbasikal trek negara, Azizulhasni dan Mohd Shah Firdaus , serta ketua jurulatih Beasley dan Amarjit.

Pada sesi lawatan itu, Hamidin turut mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan berbasikal trek yang diketuai John Beasley dan dua pelumba sandaran negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang tersenarai dalam RTG.

Turut hadir, timbalan ketua kontinjen negara, Datuk Nicol David selain Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill.

Mengulas lanjut mengenai keperluan atlet di bawah program RTG, Hamidin memberitahu pihaknya sudah pun mengumpul semua data berhubung perkara itu dan akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa RTG yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

“Sebenarnya, saya sudah dapatnya semua maklumat daripada pemain dan jurulatih dan kita pun sudah ada hitam putih. Ada sesetengah keperluan yang kita sudah selesaikan tanpa melalui mesyuarat (jawatankuasa RTG).

“Jadi, kita akan perincikan semuanya dan tidak lama lagi kita akan ada mesyuarat untuk membincangkan berkenaan perkara itu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jawatankuasa RTG yang agak lambat memulakan program, beliau berkata: “(RTG) tidak bergerak, kita sedang bergerak… RTG ini satu jawatankuasa, kita tidak boleh tunggu jawatankuasa, kita bergerak melalui pengerusi jawatankuasa iaitu YB Menteri (Hannah Yeoh) dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, kerana sekarang semua boleh dibuat atas talian untuk kita maklum apa yang perlu kita buat.”