KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paralimpik Paris, Datuk Subramaniam Raman Nair berasakan tidak logik apabila dirinya didakwa dibuli oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurutnya, tiada isu buli timbul, namun dakwaan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin seperti yang dilaporkan media tempatan, dianggap sebagai pandangan peribadi.

“Sudah tentu tidak ada siapa yang membuli saya, saya sudah cukup dewasa,” kata Subramaniam, ditemui ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebagai CDM, beliau menganggap apa yang dilakukannya sepanjang temasya adalah menjalankan tugasan sebagai seorang ketua kontinjen.

“Saya bercakap dari sudut saya sebagai CDM, misi saya adalah untuk membawa kontinjen beraksi di sana, selesaikan misi dan membawa pulang mereka dengan selamat. Mengenai prestasi adalah perkara lain.

“Sebagai seorang bekas pegawai tentera, kami tidak tumpas dalam peperangan, tetapi kalah dalam pertempuran. Sentiasa akan ada hari lain untuk kami berjuang kembali. Sudah tentu presiden mempunyai pandangan peribad.,”

Ujar Subramaniam, beliau percaya apa yang hendak disampaikan Megat D Shahriman ialah untuk mempertingkatkan dan memperbaiki sistem.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihaknya, tetapi saya percaya beliau mahu mempertingkatkan sistem disebabkan itulah mengapa beliau menyalahkan pihak MSN. Saya sibuk di perkampungan sukan, bersama atlet, jurulatih, MSN dalam menentukan segala persiapan pada kemudian hari berlaku dengan baik.

“Kami tidak mahu ada perkara yang tersilap ketika pertandingan. Saya sudah cukup dewasa untuk menyelesaikannya (sebarang masalah). Ada sistem di sekeliling saya, mungkin pandangannya adalah untuk memperbaiki sistem itu,” katanya.

Tambahnya, ada ruang untuk memperbaiki keadaan dan beliau memahami setiap peranan MPM, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam menjaga atlet para.

“ISN ada peranan tertentu, berkaitan pemulihan kecederaan dan sebagainya, MPM pula berurusan dengan pihak penganjur kerana ahli Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC). MSN bertindak sebagai peranan sokongan. Segala kelemahan pada pandangan peribadi saya boleh diubah, di mana lain kali kita buat lebih baik berdasarkan pengalaman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Gagal capai sasaran pingat emas: Presiden MPM mohon maaf, “MSN jangan berdiam diri”

Sebelum ini, Flash Sukan melaporkan, Megat D Shahriman berkata pihaknya mengambil tanggungjawab di atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran empat pingat emas tetapi pada masa sama turut menuntut MSN tidak lepas tangan.

Beliau mendakwa MSN banyak campur tangan dalam pengurusan kontinjen negara yang menyaksikan ada ‘dua kapten dalam satu kapal’ dan ia menjadi salah satu faktor kegagalan di Paris.