SUKAN Olimpik sudah melabuhkan tirainya dua hari lalu dengan kontinjen negara membawa balik dua pingat gangsa menerusi acara badminton.

Ketepikan seketika prestasi keseluruhan kontinjen Olimpik negara memandangkan tirai Sukan Paralimpik 2024 Paris akan dibuka hujung bulan ini yang sekali lagi memerlukan sokongan semua pencinta sukan tanah air.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik 2024, Datuk R. Subramaniam berkongsi bahawa kesemua 30 orang atlet yang layak ke Paris kini sedang melakukan sentuhan terakhir bagi latihan.

“Kami akan bertolak ke Paris pada 23 dan 25 Ogos ini menjelang aksi pembukaan bermula pada 28 Ogos. Syukur semua atlet bebas daripada sebarang kecederaan dan apa yang saya nampak mereka dalam semangat untuk berjuang.

“Pihak kami dan MSN (Majlis Sukan Negara) telah memantau rapat mereka  sepanjang persiapan dibuat. Cuma kita semua tidak memberi tekanan kepada kepada mereka, termasuk jurulatih masing-masing kerana kejayaan atlet-atlet mendapatkan slot ke Paris sudah tercapai dan seteruskan mereka hanya curahkan tugas sepenuhnya di lapangan masing-masing,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Subramaniam yang juga Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata, temasya tahun ini agak istimewa memandangkan cabaran empat emas dipertaruhkan.

“Seperti yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) sebelum ini, Kontinjen Paralimpik Malaysia disasarkan membawa pulang empat emas.

“Rekod atlet paralimpik negara amat cemerlang sebelum ini selepas tiga emas di Rio (2016) dan Tokyo (2020). Jadi tahun ini kita sasarkan untuk kumpulkan 10 emas keseluruhan  (PM10).

“Kita sentiasa meletakkan standard yang tinggi terhadap semua atlet, dan sasaran itu diharap mampu dilaksana memandangkan Malaysia mempunyai atlet-atlet senior bertaraf dunia seperti Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Cheah Liek Hou (badminton) dan Bonnie Bunyau Gustin (angkat berat).

“Tetapi kemungkinan pingat emas juga boleh hadir daripada acara-acara yang lain,” tambahnya.

Dalam pada itu, Subramaniam mengakui tugasnya sebagai CDM ini merupakan satu penghargaan besar buat dirinya.

“Saya mengambil tanggungjawab ini secara peribadi kerana saya tak mahu gagal, memandangkan saya sudah memastikan tiada sebarang jurang ketika persiapan dilakukan.

“Ia tanggungjawab besar bagi saya. Profil sukan para meningkat. Harapan tinggi daripada seluruh rakyat kepada semua atlet kita. Dan bagi pihak kami, KBS dan MSN sudah melakukan yang terbaik.”