KETUA Kontinjen (CDM) Sukan Para Asean 2023, Noor Syahieda Mat Shah mengikuti persiapan atlet-atlet yang bakal berangkat ke Kemboja bermula 3 hingga 9 Jun ini.
Noor Syahieda yang juga Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengadakan lawatan ke venue-venue latihan melihat sendiri kelancaran persiapan setiap semua atlet negara.
Ketika ditemui ketika sesi latihan pasukan judo, Noor Syahieda memberitahu ini merupakan kali pertama dia dilantik sebagai CDM.
“Untuk bahagian saya, ini adalah kali pertama saya menyertai ketua kontinjen dan ada 12 acara sukan yang terlibat.
“Sejujurnya kita sedang belajar lagi untuk faham setiap sukan itu apa keperluannya disamping untuk mengenali siapa atlet-atlet ini dan belajar apa peraturan-peraturan sukan tersebut.
“Dengan itu nanti kita tahu, apa yang perlu kita lakukan sebagai ketua kontinjen dan apa yang akan berlaku dalam kejohanan.
“Begitu juga dari segi teknikal untuk dipatuhi oleh atlet dan jurulatih supaya tidak berlaku sebarang kesilapan serta memastikan atlet dapat bersedia beraksi dengan lebih baik,” kongsi Noor Syahieda kepada FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, Noor Syahieda berharap turut mendapatkan sokongan serta kesedaran daripada rakyat Malaysia mengenai atlet-atlet paralimpik negara.
“Memandangkan saya daripada MPM, saya juga terlibat dengan sukan paralimpik sebagai pegawai teknikal, cabaran yang saya boleh kongsikan adalah untuk mendapatkan sokongan dari semua rakyat Malaysia.
“Seperti yang kita tahu, sukan paralimpik melibatkan atlet Orang Kurang Upaya (OKU), namun mereka juga boleh beraksi dalam sukan yang sama macam sukan yang disertai atlet yang lain (atlet normal),” tambahnya.