PERSIAPAN skuad olahraga negara ke Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand, sedikit terencat apabila pemenang pingat emas 100 meter (m) Sukan Sea 2019 mengalami kecederaan pada sesi latihan, baru-baru ini.

Muhammad Haiqal Hanafi, mengalami kecederaan buku lali kanan ketika menjalani latihan pusat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.

Jurulatih pecut negara, Muhammad Poad Kassim berkata, kecederaan itu memaksa Haiqal diketepikan daripada menyertai kejohanan yang berlangsung di Pattaya, 12 hingga 19 Julai ini.

Haiqal yang disenaraikan untuk memperkuat kuartet 4x100m bersama pelari pecut sensasi, Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa, terpaksa digantikan dengan Mohammad Thaqif Hisham.

Thaqif mempunyai catatan peribadi terbaik 10.69 saat (s) yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Hong Kong, April lalu.

Muhammad Haiqal Hanafibukan hanya tidak akan ke Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand minggu hadapan, malah terlepas peluang ebraksi di Sukan Asia Hangzhou, pada September depan.

“Ceritanya amat panjang, saya tidak mahu memperbesar-besarkan isu ini, yang boleh saya katakan Haiqal mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan sejak kira-kira dua minggu lalu.

“Bagaimanapun atlet kita masih lagi bersemangat dan berada dalam keadaan yang cukup positif, jadi harapnya kita boleh melakukan yang terbaik nanti,” kata Poad, dihubungi FLASH SUKAN.

Menurutnya, Haiqal juga akan terlepas aksi di Sukan Asia, kerana dipercayai tidak mampu sembuh sebelum temasya di Hangzhou, China, 23 September hingga 8 Oktober depan.

Justeru, Poad mengesahkan akan ada perubahan posisi pelari berbanding kuartet 4x100m negara yang memenangi pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja Mei lalu.

“Azeem sudah pasti akan menjadi pelari terakhir, Thaqif pula akan menjadi pelari ketiga, dan Jonathan pula sebagai pelari kedua, sementara Khairul Hafiz akan menjadi pelari pertama.

“Aturan kali ini memang cukup berbeza dengan apa yang kita tampilkan di Sukan Sea dahulu,” tambahnya.