HARAPAN negara di Sukan Asia Hangzhou, Datuk Azizulhasni Awang sekali lagi ditimpa musibah, kali ini mengalami kecederaan sewaktu menjalani latihan, namun ketua jurulatih skuad berbasikal trek, John Beasley tetap yakin bahawa anak didiknya, mampu mengatasi ujian yang menimpa dirinya.
Terlibat dalam kemalangan berkelajuan tinggi ketika menjalani latihan di Veledrom Nasional, di Nilai pada Jumaat, memberi tekanan tambahan kepada pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu, apabila perlu mendapatkan tahap kecergasan dan pemulihan dalam waktu singkat.
Beasley berkata, pelumba berusia 35 tahun itu sudah membuktikan sebelum ini yang dia memiliki tahap kekuatan luar biasa untuk mengatasi segala rintangan yang dihadapinya termasuklah ketika kakinya tertusuk kayu pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester pada 2011.
“Dia seorang pelumba yang kuat dan cergas. Adakah ini akan menjejaskan prestasinya di Sukan Asia? Sudah tentu, tetapi sejauh mana ia akan menjejaskan prestasinya? Kita perlu tunggu dan lihat. Untuk memakai jersi perlumbaan pun akan menjadi satu cabaran untuk dirinya.
“Namun, ketika kakinya tertusuk kayu pun tidak dapat menghalangnya untuk melintasi garisan penamat beberapa tahun lalu (2011), saya meragui yang kemalangan ini akan menghentikannya. Ia adalah satu lagi cabaran buat dirinya,” kata Beasley ketika dihubungi.
Jurulatih dari Australia itu berkongsi keadaan dialami Azizulhasni, susulan kemalangan terbabit, apabila mengalami bengak dan melecet di bahagian kaki dan tangannya.
“Kami akan memberi penjagaan terbaik buat dirinya dan berikan dia masa dengan harapan dia akan pulih tepat pada masanya,” katanya.
Kurang seminggu sebelum Sukan Asia Hangzhou membuka tirainya, Sabtu ini, Azizulhasni yang mesra dengan panggilan Jijoe, mengejutkan peminat sukan tempatan apabila berkongsi rakaman video kemalangan dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, kelmarin.
Rakaman video itu menunjukkan dia terjatuh ketika sedang memecut mengejar motosikal dihadapannya selepas basikalnya mengalami kegagalan mekanikal.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak mengalami kecederaan serius akibat daripada kemalangan terbabit.
Di Hangzhou, Azizulhasni akan menyertai dua acara iaitu pecut individu dan keirin.
Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.