TEKA-TEKI peminat Perak FC yang tertanya-tanya mengapakah Yusri Che Lah tidak membawa tiga pemain ­utama dalam kunjungan aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Kepulauan Borneo terjawab.

Ia selepas semasa sesi latihan dan perlawanan pertama bertemu Serpong City FC pada Khamis lepas, kelibat Sunday Afolabi, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Afif Asyraf langsung tidak kelihatan.

Menjawab akan hal itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin tampil menjelaskan menerusi Facebook TBG Super Fan.

“Untuk pengetahuan Sunday, Wan Zack dan Afif tidak bersama pasukan untuk tour ini.

“Wan Zack dan Afif ada kursus kejurulatihan dan Sunday harus memohon visa dan prosesnya agak lama,” katanya.

May be an image of 3 people, people playing football, people playing American football and text

Ujar Bobie lagi, pertembungan berdepan Borneo FC bukan saingan biasa-biasa apatah lagi lawan adalah pendahulu semasa Liga Satu Indonesia.

“Pertemuan dengan pendahulu Liga 1 Indonesia ini ibarat bertemu dengan pendahulu liga Malaysia.

“Di atas kertas, pasukan kita jelas kelihatan kerdil berbanding mereka namun peluang ini harus dilihat bagaimana ruang yang perlu kita baiki untuk The Bos Gaurus terus berusaha membina pasukan ini semula,” katanya.

Aksi berkenaan diadakan setelah satu bentuk kerjasama diadakan antara Perak FC dan pasukan berkenaan dalam usaha meningkatkan reputasi masing-masing di rantau Asia Tenggara.