KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi mengakui berdepan cabaran besar dalam mencatur corak perubahan baharu ke dalam arena bola sepak Malaysia.

Meskipun CEO berusia 34 tahun itu tidak asing lagi dalam kancah bola sepak negara setelah pernah berada di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada tahun 2017 sehingga 2021, namun dirinya percaya bahawa setiap perubahan akan memerlukan masa.

Menurut Giorgio yang turut disapa sebagai Jojo, dirinya mahu memulakan rencana di MFL dengan duduk berbincang sesama pihaknya dan juga kelab bola sepak lain bagi memastikan visi pasukan dan organisasi itu selari.

“Dengan perbincangan bersama seperti itu, kita baru dapat merencanakan pelan dan apa yang terbaik buat Liga Malaysia.

“Saya juga sedar saya merupakan CEO MFL pertama yang datang dari luar negara. Tetapi bagi saya itu bukanlah satu masalah. Saya di sini untuk mencabar diri dan memberikan yang terbaik buat Liga Malaysia.

Sesi beramah mesra pengamal media bersama CEO MFL.

“Namun begitu, perubahan yang mahu dibawa bukanlah perkara magik. Semuanya memerlukan masa untuk kita perbaiki apa yang diperlukan dalam Liga Malaysia.

“Perubahan yang diimpikan tidak akan datang sekelip mata. Kita perlu tetapkan objektif yang jelas dan selepas itu, kita akan melihat apa yang boleh dilakukan,” katanya ketika ditemui pihak media pada Jumaat.

Untuk rekod, Giorgio sebelum ini memulakan kerjayanya dalam menceburi bidang bola sepak pada tahun 2013 dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A, seterusnya berhijrah ke Sepanyol bersama kelab Valencia CF sebelum beliau menyertai LaLiga pada tahun 2017.

Giorgio yang tidak pernah memegang jawatan CEO sebelum ini meneruskan kariernya sebagai Delegasi LaLiga Thailand yang berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sehingga kini dilantik selaku CEO MFL.