KETUA Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC (NSFC), Faliq Firdaus nyata tidak menggemari tindakan yang dilakukan bekas pemain, Zaquan Adha Abdul Radzak yang dilihat seakan-akan menggunakan media untuk meraih simpati ekoran kontraknya yang tidak disambung pengurusan NSFC.

Zaquan muncul menerusi temubual di sebuah saluran sukan televisyen berbayar yang menyatakan rasa terkilannya selepas kontraknya tidak disambung dalam situasi tanpa perbincangan empat mata.

Bagaimanapun Faliq tampil menjelaskan situasi sebenar perkara ini menerusi rajutan di laman sosial X peribadinya sekaligus menjawab segala persoalan dan menjernihkan keadaan sebelum iaya bertambah parah.

“Kontrak Zaquan Adha tamat pada 17 Disember 2023 dan kedua-dua pihak sedar akan fakta ini. Pemain dan kelab ada hak untuk teruskan atau cari kelab lain kerana ianya adalah ‘open market’. Malah, ada pemain yang sedang berunding walaupun latihan pra-musim telah bermula.

“Zaquan Adha tidak pernah semak statusnya sebagai pemain sejak kontraknya tamat, hanya pertanyaan mengenai tunggakan gaji. Selepas tamat kontrak, asalnya beliau ada di dalam perancangan pengurusan namun setelah pertimbangkan, pengurusan ambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya.

“Surat tersebut hanya memaklumkan bahawa kontrak beliau sebagai pemain tidak disambung, malah semua pemain yang tidak disambung juga terima surat yang sama dan kelab terbuka untuk sebarang peranan buatnya jadi sebahagian daripada ‘coaching staff’,” jelas Faliq menerusi hantaran itu.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus

Faliq juga kecewa kerana Zaquan tidak memeriksa pelbagai perkara dengan pihak pengurusan sebaliknya terus menggunakan pihak media untuk menyuarakan ketidakpuasan hatinya yang dianggap sebagai kebudak-budakan.

“Tindakannya untuk ke media sangat menduka citakan. Walhal dia tidak pernah sekalipun mahu menyemak statusnya sebagai pemain kepada pihak kelab mahupun kepada pihak saya.

“Apatah lagi dengan tindakannya mengaitkan kedudukannya dengan kedua-dua pemimpin yang tidak ada kena mengena dengan pengurusan NSFC, berdasarkan “orang kata” adalah tidak matang.

“Tiada individu yang lebih besar daripada kelab, termasuk CEO sendiri. Pengukuhan kedudukan kewangan kelab harus diutamakan dan tindakan untuk ke media adalah kebudak-budakkan,” jelas hantaran itu.

Negeri Sembilan FC kini dalam proses memperbaiki kedudukan kewangan pasukan dan sudahpun mengumumkan beberapa pemain termasuk pemain import sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25 dan diharap segala permasalahan yang timbul dapat dikendalikan dengan cara yang profesional.