BEKAS pemain tengah Arsenal, Barcelona dan Chelsea, Cesc Fabregas mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada usia 36 tahun.
Febregas yang pernah menjulang memenangi Piala Dunia 2010 dan dua Kejuaraan Eropah bersama Sepanyol, dua gelaran Liga Perdana Inggeris ketika bersama Chelsea selain La Liga bersama Barcelona, mahu meneruskan kariernya sebagai jurulatih.
“Sudah tiba masanya buat saya untuk menggantung but. Ia satu perjalanan yang saya tidak akan lupakan.
“Dari hari pertama saya di Barca, Arsenal, Barca kembali, Chelsea, Monaco dan Como, saya menghargai semuanya.
“Saya harungi pengalaman yang tidak pernah terfikir mengalaminya,” kata Fabregas di media sosial.
Umpanan Fabregas kepada Andres Iniesta yang melakukan jaringan, membolehkan Sepanyol meraih kemenangan ke atas Belanda pada final Piala Dunia 2010 di Johannesburg.
Dia memulakan karier di akademi Barcelona sebelum menyertai Arsenal di usia 16 tahun pada tahun 2003.
Dia bersama Arsenal sejak berusia 16 tahun, memenangi Piala FA 2005 bersama The Gunners dan memulakan permainan ketika kekalahan 2-1 kepada Barcelona dalam final Liga Juara-Juara Eropah pada musim berikutnya.
Dia kembali ke Barcelona pada tahun 2011 dan menyertai Chelsea selepas tiga tahun di Camp Nou.
Fabregas kemudian berpindah ke Monaco pada tahun 2019 dan sepanjang musim lalu bersama kelab divisyen dua Itali, Como. Dia akan terus bersama kelab itu untuk membimbing skuad simpanan dan remaja.
“Sebuah kelab dan projek yang menarik minat saya. Ia adalah pasukan bola sepak yang membuatkan hati saya terpikat sebaik tiba di sini.
“Ia hadir pada masa yang tepat dalam karier saya. Saya akan mengambil peluang ini,” katanya. -Agensi