JURULATIH Kuching City FC (KUFC), Aidil Sharin Sahak tidak menjangka pasukannya mampu menjaringkan tiga gol di laman lawan ketika menentang pasukan besar seperti Kedah Darul Aman FC.

Malah, Aidil yang bertandang ke Alor Setar sebagai bekas pengendali kelab akui mempunyai memori indah di Stadium Darul Aman sepanjang empat musim bersama pemain dan penyokong Hijau Kuning.

“Sudah tentu, anda tahu, saya berasa sedih. Peminat di luar sana, saya masih merindui mereka.

“Tetapi bola sepak ini perlu kita fahami jika anda nampak. Mereka adalah pasukan bajet tiga kali ganda dan anda tahu kita sedang untuk membina pasukan.

“Kami tidak menjangka sehingga 3-0 kerana Kedah mempunyai pertahanan yang kuat terutamanya apabila bermain di rumah. Tetapi hari ini saya melihat keajaiban datang dari tempat itu,” katanya selepas perlawanan suku akhir kedua Challenge Cup pada Rabu.

Pengendali kelahiran Singapura itu tidak lupa menghamburkan pujian melangit kepada pemain KUFC kerana mengikut arahan permainan dengan sempurna.

“Saya rasa budak-budak inginkan komitmen malam ini dan berjaya membuktikan segalanya.

“Tetapi kami juga perlu tahu cara bagaimana untuk melaksanakan dan manfaatkan kelemahan mereka.

“Saya hanya orang biasa di luar sana, hanya untuk membimbing Kuching City dan saya fikir keputusan ini menandakan bahawa kami memperoleh hasil komitmen pemain dan barisan kejurulatihan,” katanya.

Pada aksi pusingan pertama, The Cat mencatatkan kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan Abu Kamara.