PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mahu para pemainnya bermain dengan corak menyerang dan bukannya bertahan walaupun sedar mereka mempunyai kelebihan ketika final kedua namun tidak mahu dibolosi pada final pertama Challenge Cup 2023 menentang PDRM FC yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu.
Aidil yang masuk pada pertengahan liga berjaya membawa Kuching City layak ke final pertama dalam sejarah kelab dan mahu pemainnya gembira beraksi di final kerana baginya bukan mudah untuk layak ke perlawanan akhir.
“Pasukan tidak sabar untuk aksi final kerana ianya aksi final pertama buat kelab ini jadi saya dapat lihat pemain begitu bersemangat dan perlawanan menentang JDT minggu lalu adalah persiapan terbaik buat kami.
“PDRM juga mahu mencipta sejarah dan kedua-dua pasukan mempunyai mindset yang sama dan dijangka perlawanan yang sukar. Kami perlu fokus satu perlawanan terlebih dahulu dan mahu pemain hanya enjoy perlawanan akhir ini kerana bukan mudah masuk ke final dan harap mereka berikan yang terbaik.
Skuad PDRM sangat bahaya dengan serangan balas dan kami kalau boleh tidak mahu dibolosi pada final pertama ini dan akan gunakan kesempatan aksi final kedua di laman sendiri di hadapan penyokong sendiri namun kami akan menyerang dan tidak akan bertahan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Aidil turut mengakui kehadiran semula Petrus Shitembi dan Abu Kamara dalam skuad akan membantu pasukannya selepas tiga tonggak terpaksa diketepikan pada final pertama ini kerana kecederaan dan dia tidak mahu mengambil risiko kerana masih ada perlawanan akhir kedua di Kuching nanti.
“Kehadiran Petrus dan Abu banyak membantu pasukan dan mereka juga segera kembali berlatih bersama pasukan meskipun selepas menempuh perjalanan selama 18 jam dari negara mereka selepas dipanggil mewakili skuad kebangsaan masing-masing.
“Tiga pemain terpaksa diketepikan kerana kecederaan dan saya tidak mahu mengambil risiko kerana masih ada final kedua lagi nanti,” jelasnya yang mengharapkan hari yang baik untuk aksi final dan diadili dengan baik serta mempunyai atmosfera yang baik.
Sementara itu kapten pasukan, Alif Hassan pula berkata para pemain semua dalam keadaan bersemangat dan sesiapa pun yang diturunkan bersedia untuk memberikan aksi terbaik untuk membawa bekalan selesa pulang ke Kuching untuk final kedua nanti.
“Pemain semua nampak semangat dan akan berikan yang terbaik pada aksi final ini nanti kalau diberi peluang kerana semua mahu main di final. Kami tahu PDRM adalah pasukan yang baik dan kami tidak boleh leka,” katanya.
Ini adalah final ketiga buat Aidil Sharin yang sebelum ini mengemudi Kedah menjuarai Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia dan dia mahu para pemainnya berikan yang terbaik untuk memberikan kelebihan selesa sebelum kembali ke Kuching untuk final kedua.