PDRM FC berjaya mematahkan impian skuad Kuching City FC untuk mendahului selesa agregat perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup 2023 apabila menang 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Beraksi dengan keadaan cuaca yang hujan, PDRM FC berjaya menepis dugaan tersebut dengan serangan bertubi-tubi di luar bahagian kotak penalti Kuching City FC sejurus memberi situasi tegang kepada pasukan pelawat.

Keteguhan pemain-pemain pada malam ini sangat mematangkan lagi permainan namun tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan pada babak pertama perlawanan.

Penantian yang cukup memeritkan buat kedua-dua pasukan yang ingin membuka tirai jaringan pada babak kedua dan akhirnya tuah memihak buat pasukan PDRM FC apabila hantaran daripada Uche Agba dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mohamad Nabil Ahmad Latpi sekali gus sepakannya berjaya menepati sasaran ke gawang gol Kuching City pada minit ke-53.

Kegembiraan yang terus membuak buat pasukan PDRM semakin menjadi tangisan kepada pihak lawan apabila rembatan tajam oleh pemain import Uche Agba pada minit ke-68 telah menumpaskan penjaga gol Kuching City, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

PDRM meneruskan rentak gemilang dan seterusnya menyambar jaringan ketiga buat pasukan mereka apabila kapten pasukan, Amir Saiful Badeli mencuri ruang di hadapan pintu gol pihak lawan dan membuat sepakan tepat tanpa di duga oleh pertahanan Kuching City pada minit ke-77.

Dapat dilihat, serangan yang dibuat pada separuh masa kedua itu lebih didominasi oleh pasukan The Cops apabila mereka bangkit untuk memburu setiap peluang yang terbentang di hadapan mereka.

Keputusan yang agak lega buat PDRM tetapi belum dinoktahkan sebagai juara kejohanan kerana agregat 3-0 akan dibawa ke perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup 2023 pada 3 Disember 2023 di Stadium Negeri Kuching, Sarawak.